PAS sedia, Umno yang main buka tutup pintu

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata parti itu sentiasa menggalakkan penyatuan Islam dan Melayu demi kekuatan ummah.

- Advertisement -

Menurutnya, penyatuan dan perpaduan adalah perkara yang digalakkan dalam agama, kerana ia menjadikan umat Islam lebih kuat walaupun jumlahnya tidak terlalu ramai. 

“Jumlah kita mungkin tidak terlalu ramai. Bila kita berpuak-puak potensi untuk berpecah sangat kuat dan akan jadi lemah. Apabila kita bersatu, kita akan jadi kuat,” katanya mengulas mengenai hasrat Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Rozi Mamat untuk bekerjasama bersama PAS.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pemakluman Projek RPMM Kubang Parit di tapak projek, di sini.

Bagaimanapun, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, beliau masih keliru dengan kenyataan dari wakil parti berkenaan.

“Saya ada membaca laporan akhbar yang menyatakan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu berhasrat untuk bekerjasama dengan PAS. 

“Namun, baru-baru ini, Jawatankuasa Umno Terengganu kelihatan berkata sebaliknya, jadi saya juga tidak tahu apa cerita sebenarnya. 

“Ada juga orang kata dia buka pintu, dia tutup pintu. Kita hanya boleh menunggu dan membaca perkembangan sahaja,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri berkata, sesiapa sahaja yang ingin memperkukuh perpaduan Melayu dan Islam adalah dialu-alukan. 

“PAS sejak sekian lama, kita nak menyatukan Melayu dan Islam, bukan hanya melibatkan Umno sahaja, malah sesiapa sahaja yang mahu bersatu atas dasar perpaduan dan kesatuan.

“Namun, dalam keadaan sekarang, baru nampak pintu terbuka, tiba-tiba ditutup semula,” katanya. 

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Rozi berkata, Umno Terengganu sedia bekerjasama dengan PAS bagi menebus kembali kekalahan dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut sebelum ini.

Laporan itu turut menyebut beliau menyatakan kerjasama itu selaras cadangan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu merangkumi semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Namun, menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Nurhisam Johari, parti itu tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bergabung dengan PAS sama ada melalui Muafakat Nasional (MN) atau sebarang bentuk kerjasama politik lain.– HARAKAHDAILY 22/1/2026

- Advertisement -