
KUALA LUMPUR: Cadangan projek ladang ternakan babi di Bukit Tagar, Selangor perlu dinilai semula secara menyeluruh dengan meletakkan sensitiviti komuniti Melayu-Islam serta perlindungan nilai hartanah milik penduduk tempatan sebagai keutamaan tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, pemilihan lokasi di kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya adalah Melayu-Islam jelas mencerminkan ketidakpekaan pihak berwajib terhadap komposisi demografi dan keharmonian sosial setempat.
Menurutnya, kawasan penempatan awam tidak sewajarnya dijadikan lokasi projek ternakan berskala besar tanpa mengambil kira impak budaya, sosial dan psikologi masyarakat.
“Kewujudan projek ternakan babi berskala besar di kawasan majoriti Melayu-Islam berpotensi menyebabkan kejatuhan nilai hartanah dan tanah milik orang Melayu di sekitarnya.
“Risiko bau berpanjangan, pencemaran persekitaran dan persepsi negatif pasaran akan menjejaskan nilai komersial hartanah sekali gus merugikan pemilik tanah tempatan dari sudut pelaburan, pewarisan dan masa depan ekonomi keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Amzad yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat turut menyuarakan sokongan penuh terhadap kegusaran yang dizahirkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu ini.
Beliau menegaskan bahawa titah Baginda yang menekankan kesejahteraan komuniti wajar dijadikan panduan utama dan dipatuhi sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengingatkan agar kegagalan pengurusan sisa di lokasi lama iaitu di Tanjung Sepat, Kuala Langat dijadikan pengajaran.
Tambah beliau, masalah kronik melibatkan bau busuk, pencemaran sungai dan lambakan lalat di Tanjung Sepat masih gagal diselesaikan sepenuhnya sehingga menjejaskan kualiti hidup penduduk.
“Jika pendekatan dan kelemahan yang sama dipindahkan ke Bukit Tagar, ia hanya akan mengulangi krisis alam sekitar dan sosial yang sama.
“Dari sudut teknikal, sisa cecair dan najis ternakan mengandungi kepekatan nutrien tinggi khususnya nitrogen dan fosforus yang berpotensi mencemarkan sumber air, menyebabkan eutrofikasi sungai serta merosakkan struktur tanah,”jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Negeri supaya membentangkan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang komprehensif secara telus.
Beliau turut menuntut agar proses libat urus yang jujur dilaksanakan bersama penduduk tempatan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, demi mengelakkan implikasi buruk terhadap sensitiviti masyarakat dan ekosistem. – HARAKAHDAILY 22/1/2026











