
APABILA Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melontarkan kekecewaan dan kebimbangan mengenai kecacamarbaan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini dalam Titah Diraja pembukaan Sidang Parlimen kelmarin maka dengan pantas ia mengundang reaksi masyarakat awam. YDPA merasa dukacita dengan penolakan segelintir rakyat terhadap Bahasa Melayu, baginda menegaskan sistem pendidikan mesti mengutamakan Bahasa Melayu. “Jika tak terima Bahasa Melayu jangan duduk di Malaysia,” tegas YDPA.
Titah Tuanku YDPA sangat tepat dalam keadaan penghormatan kepada Bahasa Melayu semakin terhakis. Pernah berlaku di tanah leluhur ini, 11 PIBG SMJK SMC membantah kerana tidak mahu Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar. Inilah natijah apabila kuasa politik yang digenggam oleh kelompok cauvinis menjadikan mereka rakus untuk mengubah kontrak sosial tanah air ini. Tingkah tulen mereka mula kelihatan parallel dengan kekuatan ekonomi yang mereka pegang. Perasaan hormat serta kecintaan kepada tanah pertiwi ini semakin terkuras, ini terlihat dalam isu pemaparan bendera kerajaan Republik Komunis China serta penolakan secara halus untuk menggunakan tulisan dalam bahasa kebangsaan.
Bahasa adalah medium dan wahana untuk berkomunikasi dan melebarkan jaringan sosial serta menjadi alat perpaduan negara. Di negara India pada suatu masa pernah berlaku kegegeran sosio-politik akibat isu bahasa kerana kerencaman etnik negara itu sehingga bahasa Inggeris dipilih menjadi bahasa rasmi.
Bahasa Melayu dalam denai sejarahnya, pernah menjadi lingua franca yang dipertuturkan oleh 84 bangsa yang datang berdagang ke Melaka dalam abad ke-15. Bahasa Melayu terus berkembang dan diperkayakan dengan penambahan kosa kata pinjaman daripada pelbagai bahasa dalam dunia ini.
Para leluhur tanah watan ini dalam membina peradaban dan jati diri negara pasca kemerdekaan, telah berjaya mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke dalam artikel 152 Perlembagaan negara.
Kini dengan wewenang politikus cauvinis atas nama keterbukaan dan persaingan global telah meremehkan bahasa kebangsaan dengan semudah memetik jari. Bangsa-bangsa yang gagah berdiri seperti Jepun, Perancis dan Jerman tetap dengan bangga menjulang bahasa mereka masing-masing, maka mengapa kita membiarkan malapetaka ini muncul di negara ini pasca PRU 15?
Rejim pragmatis sekular negara ini harus sedar bahawa merosakkan kontrak sosial negara ini adalah seperti membakar jerami perpaduan yang dibina lebih enam dekad.
Penulis teringat di antara isu-isu bahasa kebangsaan yang pernah tercetus semasa fasa pertama PH pernah memerintah dahulu ialah tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan.
Fenomenal kecuaian kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kini berulang. Penjenamaan tempat tinggal serta bandar-bandar baru juga mengabaikan bahasa kebangsaan. Sebagai contohnya KL Eco City, Bangsar South, KL East serta ratusan contoh lain yang menjolok mata.
Bayangkanlah nanti jika berjaya dihapuskan kampung-kampung warisan di Lembah Klang seperti Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah, Kampong Chubadak, Kampung Padang Balang, Kampung Sungai Merali dan Kampung Batu, maka hampir pasti akan terhapus jejak nama kampung asal seperti yang berlaku kepada Kampung Kerinci dan Kampung Abdullah Hukum!
Tindakan meremehkan bahasa kebangsaan termasuk semakin menggebukan pemaparan aksara Cina di mana-mana premis perniagaan. Pemaparan papan-papan iklan ini boleh mencetus suasana tidak tenang dan selesa dari kalangan rakyat majoriti dan boleh dianggap sebagai usaha merendahkan bahasa kebangsaan negara ini.
UEC, sekolah-sekolah vernakular juga antara pemangkin akan terhakisnya semangat patriotik, kecintaan kepada bahasa kebangsaan seterusnya jurang komunal yang semakin menjarak.
Sebagai kerajaan yang mempunyai punca kuasa, seharusnya kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim memahami sensitiviti rakyat di negara ini. Pengabaian kepada bahasa kebangsaan atas alasan mengalu-alukan pelancong Tanah Besar China boleh menyebabkan persepsi buruk rakyat terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.
Sebagai kerajaan yang memerintah, PH-BN perlu sedar bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi pengikat semua bangsa di negara ini. Pemimpin negara mesti menunjukkan contoh teladan bagi menyemai perpaduan dan kesatuan rakyat berbilang kaum melalui apa juga cara termasuk menggunakan Bahasa Melayu. Tidak salah untuk menggunakan bahasa Mandarin dalam berkomunikasi, tetapi biarlah dalam bentuk yang tidak formal. Dalam urusan rasmi kerajaan, semua pemimpin mesti menggunakan bahasa rasmi agar mesej dan maksudnya boleh difahami oleh semua bangsa. Jika menggunakan tiga bahasa sekalipun, Bahasa Melayu mesti mendahului daripada bahasa lain dalam pertuturan dan penulisan. Dengan demikian, ia adalah usaha mendidik masyarakat terutama bangsa lain agar mengerti dan memahami bahasa kebangsaan negara.
Dalam hal ini, ingin diajukan persoalan kepada kerajaan PH-BN sekarang, apakah dasar mereka terhadap Bahasa Melayu? apakah Bahasa Melayu mahu dimartabatkan dan dipertahankan, atau adakah Bahasa Melayu tidak memberi makna dan kepentingan apa-apa terhadap terhadap dasar kerajaan? Apakah kerana kerajaan PH-BN yang ditunjangi oleh pelbagai parti dan berbilang kaum maka Bahasa Melayu juga sudah tidak dipedulikan kerana mahu meraikan kelainan bangsa yang ada dalam kerajaan PH-BN sekarang?
Perdana Menteri mesti menegur semua anggota kabinetnya agar menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua bentuk komunikasi rasmi kerajaan. Jika tidak, jangan salahkan rakyat jika medium komunikasi dalam syarikat, NGO, badan kerajaan malah institusi pendidikan juga akan menggunakan pelbagai bahasa kerana mengikut contoh pemimpin negara sekarang.
Bahasa adalah jiwa bangsa. Merosakkan kelestarian bahasa kebangsaan adalah seperti merabik keharmonian tanah leluhur ini. Legitimasi terhadap Bahasa Melayu tidak cukup ada dalam Perlembagaan sahaja. Lihat nasib Bahasa Melayu di Singapura, walau termaktub dalam Perlembagaan Singapura seperti yang didedahkan oleh seorang MP Singapura baru-baru ini di lapangan jauh sekali untuk Bahasa Melayu diangkat dan dipersadakan. Mahukah kita mengulangi nasib Bahasa Melayu di tanah Temasik?
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI Pusat – HARAKAHDAILY 22/1/2026











