Usul angkat Baba-Nyonya, Chetti ‘Ikon Perpaduan Negara’

Komitmen Ahli Parlimen Tangga Batu

Bakri (berdiri,) dalam program pertemuan santai dan menyantuni wakil komuniti Baba-Nyonya dan Chetti Melaka di kediamannya di Sungai Udang.
- Advertisement -

TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menegaskan komitmen beliau untuk membawa usul agar komuniti Baba-Nyonya dan Chetti Melaka diiktiraf secara rasmi sebagai ‘Ikon Perpaduan Negara’ di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, cadangan tersebut akan diketengahkan semasa Sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang dijadualkan bermula hari ini, 19 Januari.

Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, keunikan kedua-dua komuniti ini yang telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya.

“Sebagaimana kita tahu, masyarakat Baba-Nyonya dan Chetti ini adalah masyarakat yang sangat unik.

“Kedua-duanya juga mengamalkan cara hidup, pemakanan, dan bahasa harian seperti orang Melayu namun masih kekal dengan agama nenek moyang mereka. Atas ciri-ciri unik inilah saya berkeyakinan mereka wajar diangkat sebagai Ikon Perpaduan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian seusai program pertemuan santai dan menyantuni wakil komuniti tersebut di kediamannya di Sungai Udang pada Sabtu.

Turut hadir Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Shawn Loh Sheng Nian; Ketua Penerangan DHPP Melaka, Dr Tony Khoo dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum PAS Melaka, Syahmi Sharee.

PAS sentiasa komited membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau warna kulit, terutamanya golongan minoriti agar tidak tenggelam dalam arus pembangunan.

Hadir sama ialah pimpinan PAS Kawasan Tangga Batu termasuk Timbalan Yang Dipertua, Rafie Ahmad; Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Siti Khadijah Mahmud; Setiausaha, Jais Ma’sap dan Ketua Penerangan, Amir Norazman.

Dalam pada itu, Bakri turut mendesak agar pihak kerajaan, khususnya Kementerian Perpaduan Negara serta Kerajaan Negeri Melaka memberikan perhatian serius terhadap cadangan ini demi memelihara warisan negara.

Beliau mengambil maklum beberapa isu berbangkit yang diluahkan oleh wakil komuniti tersebut untuk dibawa ke tengah.

“Contohnya, komuniti Baba-Nyonya memohon agar ada pengenalan yang lebih jelas di kad pengenalan yang membezakan mereka dengan masyarakat Cina bukan Baba-Nyonya.

“Sementara wakil komuniti Chetti pula memohon saya memperjuangkan isu perancangan kerajaan untuk membina jalan raya yang bakal memisahkan Kampung Chetti kepada dua bahagian,” jelasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka.

Mengulas lanjut, Bakri menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen PAS, menjadi tanggungjawab beliau untuk membetulkan persepsi serong sesetengah pihak yang melabel parti itu sebagai rasis.


Beliau menegaskan, PAS sentiasa komited membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau warna kulit, terutamanya golongan minoriti agar tidak tenggelam dalam arus pembangunan.

“Kita mahu masyarakat faham bahawa tuduhan PAS rasis itu tidak benar.

“Lebih-lebih lagi kita faham bahawa komuniti minoriti seperti Baba-Nyonya dan Chetti ini memerlukan pembelaan agar warisan Melaka ini terpelihara,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pertemuan santai tersebut dihadiri oleh 12 wakil komuniti Baba-Nyonya dan tiga wakil masyarakat Chetti.- HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -