
KUALA LUMPUR: PELAKON Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kesumawati Abdul Karim disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung, sekaligus merungkai misteri di sebalik kehilangannya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi pada Rabu lalu, dan jenazah Allayarham dikebumikan di sana pada hari ini.
Pengebumian Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah, Arab Saudi pada jam 7.35 pagi, waktu tempatan dihadiri dihadiri suaminya, Prof Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah dan anak perempuannya.
Perkara itu disahkan suaminya kepada rakan perniagaannya iaitu Jasmin Hajar; manakala berita kematian Allahyarham pada mulanya disahkan anak perempuannya, menerusi hantaran Threads pada Ahad.
“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kesumawati Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) kira-kira pukul 8.05 pagi.
“Terima kasih kepada kalian yang tidak berhenti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah.
“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di Lapangan Terbang Jeddah.
“Tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada pukul 11.10 malam. Berita tersebut disampaikan oleh agensi pelancongan itu sendiri,” tulisnya.
Perkara itu turut disahkan suami arwah, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah dan sahabat baiknya, pelakon Anne Abdullah menerusi media sosial masing-masing.
Terdahulu, Nadia Kesuma,50, yang pernah membintangi filemSyaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah tersebut
Arwah merupakan antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan bermula dari 14 hingga 28 Januari. – HARAKAHDAILY 18/1/2026











