
KUALA LUMPUR: Semakin ramai rakyat berasa gerun untuk menghadapi usia persaraan susulan kos sara hidup yang terus meningkat dan keperluan simpanan yang tinggi bagi menikmati kehidupan selesa selepas bersara.
Itu pandangan penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir, yang merujuk kepada kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menetapkan bahawa pencarum golongan pertengahan memerlukan simpanan terkumpul sekitar RM1.3 juta pada usia persaraan 60 tahun, manakala golongan berpendapatan rendah memerlukan sekurang-kurangnya RM390,000.
“Dengan kos hidup yang semakin mencacak naik dan merupakan bebanan besar, berapa ramaikah punya jumlah itu di usia 60 tahun?” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Roslan Shahir turut merujuk laporan akhbar The Star yang mengumpulkan pandangan orang ramai berhubung cabaran persaraan, termasuk seorang individu berusia 60 tahun.
Individu berusia 60 tahun itu berpandangan bukan semua rakyat mampu mencapai sasaran simpanan berkenaan serta menekankan keperluan bantuan tambahan kepada warga emas, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.
Laporan sama turut memetik pandangan seorang pengurus operasi berusia 47 tahun yang menyifatkan sasaran simpanan RM1 juta sebagai terlalu tinggi dan sukar dicapai dalam keadaan inflasi serta peningkatan kos rawatan.
Selain itu juga, pandangan seorang akauntan kanan berusia 43 tahun yang menyatakan walaupun pendapatan meningkat, komitmen kewangan turut bertambah termasuk pinjaman perumahan, pendidikan anak-anak dan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin uzur.
Dalam pada itu, Roslan Shahir mempersoalkan mengapa laporan berkenaan hanya memaparkan pandangan masyarakat Cina, sedangkan realiti kesukaran tersebut diyakini turut dirasai kaum Melayu dan India.
“Tidak pula The Star kumpul pandangan yang Melayu dan India (macam rasis pula). Jika golongan Cina yang lazimnya dianggap berjaya dan berdisiplin dalam merancang simpanan waktu tua pun mengeluh bagaimana agaknya nasib yang lain?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kemampuan kerajaan mengawal serta menurunkan kos sara hidup rakyat, sambil menegaskan bahawa kemajuan negara tidak seharusnya dibanggakan sekiranya rakyat terus bergelut untuk hidup, khususnya ketika usia persaraan. – HARAKAHDAILY 14/1/2026











