
KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin menyindir landskap politik tanah air susulan keputusan ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) terhadap 47 pertuduhan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dengan menyatakan bahawa mana-mana ‘penjenayah’ kini mempunyai harapan untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, pandangan sinis itu dilontarkan berdasarkan duluan (precedent) yang berlaku kepada pemimpin utama negara masa kini.
“Natijahnya, kalau Anwar Ibrahim yang dua kali masuk penjara kerana salah guna kuasa dan liwat boleh diampunkan dan naik jadi Perdana Menteri, manakala Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes prima facie jadi Timbalan Perdana Menteri, dapat DNAA (Dilepas Tanpa Dibebaskan) dan kini NFA, mana-mana pun penjenayah ada harapan jadi Perdana Menteri.
“Syaratnya orang itu ada duit, ada pengaruh politik dan ada sokongan dari kayangan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Menurut Kadir, satu-satunya banduan yang berada dalam kategori tersebut kini adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan tindakan NFA ke atas Presiden Umno itu semalam boleh menumpulkan harapan Najib untuk mendapat kelonggaran hukuman, apatah lagi pembebasan.
Ujarnya, menerusi ‘pembebasan’ NFA yang diberikan oleh Peguam Negara itu, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno semakin kukuh dan beliau dilihat tidak lagi memerlukan Najib.
“Begitu juga dengan Anwar, kedudukannya juga bertambah kuat. Pada 6 Januari, tiga hari sebelum NFA, Ahmad Zahid telah berikrar yang Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan Kerajaan Madani sehingga habis penggal.
“Ahmad Zahid terpaksa buat janji itu kerana Konvensyen Pemuda Umno pada 3 Januari ada membayangkan supaya Umno keluar Kerajaan Madani dan jadi pembangkang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Kadir menyifatkan keputusan NFA tersebut sebagai langkah strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengukuhkan persepakatan antara Anwar dan Zahid.
Tambah beliau, Anwar memerlukan sokongan parti Melayu itu demi memberi keabsahan kepada pemerintahannya, selain berasa lebih selesa dengan Zahid berbanding Najib.
“Keputusan NFA ini boleh mengukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid dan menghapuskan saki baki sokongan terhadap Mohd Najib. Antara Ahmad Zahid dan Mohd Najib, Anwar tentu lebih takut kepada Mohd Najib dan selesa dengan Ahmad Zahid,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pemasaan (timing) pemberian NFA tersebut yang dilakukan di ambang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Pendakwa Raya daripada Peguam Negara pada bulan ini.
“Sekarang Perdana Menteri hanya perlu berurusan dengan seorang, iaitu Peguam Negara. Lepas ini dengan dua orang – Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” ujarnya sinis.
Menutup hantarannya, Kadir menyamakan situasi politik hari ini persis teori Niccolo Machiavelli yang mengutamakan kuasa melebihi moral.
“Seperti ditekankan oleh Machiavelli dalam bukunya, The Prince, moraliti agama dan etika (scruples) tidak ada tempat dalam percaturan politik. Yang utama adalah kuasa dan pengekalan diri (self-preservation),” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). – HARAKAHDAILY 9/1/2026











