
KUALA LUMPUR: Keputusan Peguam Negara mengklasifikasikan kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sebagai ‘No Further Action’ (NFA) selepas 26 bulan menimbulkan persoalan besar yang wajar dijawab di hadapan mahkamah.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pada September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA), selepas permohonan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya ketika itu.
“Masa itu ramai yang mengatakan itu (keputusan DNAA adalah) kuasa mahkamah. (Namun harus diingat) Timbalan Pendakwa Raya yang minta DNAA (itu) kini (merupakan) Peguam Negara,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurut Rafique, Ahmad Zahid sebelum ini telah diperintah membela diri berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan hakim bagi 47 pertuduhan melibatkan Yayasan Akal Budi.
“Kalau dipanggil bela diri maksudnya ada kes kuat untuk Zahid Hamidi jawab. Maka pada Mahkamah pada Hakim kes itu kukuh,” jelas beliau yang juga merupakan seorang peguam.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan keputusan terkini Peguam Negara yang menyatakan tiada kes dan mengklasifikasikan perkara itu sebagai NFA.
“Sekarang Peguam Negara kata tiada kes. NFA selepas 26 bulan. Maknanya (semuanya) tiada kes. Mengapa tidak bawa ke hadapan hakim yang sama? Bukankah lebih elok mahkamah yang menentukan?” soalnya.
Beliau berkata, perkembangan itu turut diperhatikan oleh rakyat, khususnya apabila keputusan NFA dibuat selepas Ahmad Zahid menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Zahid Hamidi yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Keputusan itu menurut laporan itu dibuat selepas merujuk penghakiman Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 serta hasil siasatan terperinci Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGC menegaskan keputusan tersebut menamatkan kes itu secara muktamad selaras kuasa Peguam Negara di bawah Perlembagaan. – HARAKAHDAILY 8/1/2026











