Empat dasawarsa tragedi Memali yang monumental

- Advertisement -
KESIBUKAN di tengah koridor kuasa kadang kala menyebabkan kita seperti terlupa tragedi getir empat dekad lalu akan pertumpahan darah di daerah agrarian Memali, Baling, Kedah. Pelbagai tugasan rasmi dan tidak rasmi, mengejar masa yang berlari pantas malah sedikit sendawa kekenyangan menggerus ingatan kita terhadap peristiwa 40 tahun yang lampau. 

Minggu ini pula kita semua terarah kepada isu pergolakan politik di Perlis yang membawa kepada perletakan jawatan Menteri Besar Perlis serta pelucutan jawatan tiga anggota legislatif PAS di negeri Perlis Indera Kayangan. Pergolakan politik Perlis terus mengheret duka yang lain, berantakan koalisi Perikatan Nasional yang bermula dengan perletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 adalah kemuncak manifestasi penentangan ahli-ahli PAS terhadap undang-undang drakonian ISA. Tokoh penggerak utama peristiwa ini ialah Ustaz Ibrahim Mahmood atau dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau merupakan bekas pendakwah di Pusat Islam yang bersara dari jawatannya untuk berkhidmat dan memberikan kefahaman Islam kepada penduduk kampungnya di Memali yang rata-ratanya agak rendah kefahaman dan pengalaman Islam.

Pendakwah yang juga amilin gerakan Islam ini tersohor kerana kecerdasan akal dan berbakat dalam membina kader-kader dakwah. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Deoband, India; Universiti al-Azhar, Mesir dan Kolej Dakwah Libya, Libya. Seluruh tempat pengajian yang beliau hadiri berhujung dengan kecemerlangan, membuktikan ikon dakwah ini bukan lahir daripada luapan semangat kosong.

- Advertisement -

Dalam penglibatan politik, murabbi ini merupakan calon PAS DUN Bayu yang terkenal sebagai kubur Barisan Nasional. Sosok besar gerakan Islam ini bertanding di DUN Bayu Kedah tahun 1978 dan 1982. Assyahid juga adalah bekas Naib Ketua PAS Kedah dan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Baling. Beliau juga pernah memimpin ABIM di Kedah, antaranya sebagai Pengerusi ABIM bagi Daerah Baling.

Namanya mencuat naik di negeri-negeri Utara Semenanjung mengisi pelbagai program jamaah serta masyarakat Kedah, Perak, Pulau Pinang serta Perlis. Madrasah Islahiah Memali yang beliau asaskan juga menjadi pusat tajnid dengan pelbagai program seperti tamrin, usrah, daurah sehingga melahirkan ramai penggerak perjuangan PAS.

Namanya begitu menggerunkan musuh politik sehinggakan Umno Kedah mendesak agar kerajaan mengambil tindakan terhadap Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud. Pada 2 September 1984, pihak keselamatan telah berusaha untuk menangkapnya di bawah ISA seperti yang dihadapi oleh pimpinan pemuda PAS yang lain seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad dan lain-lain lagi namun gagal kerana usaha tersebut telah dihalangi oleh penyokong-penyokongnya.

Selepas daripada itu, pihak polis memberitahu bahawa Ustaz Ibrahim dikawal ketat oleh penyokongnya dan beberapa usaha pihak polis untuk menangkapnya telah gagal. Usaha kemuncak untuk menangkap beliau di bawah ISA dilakukan pada 19 November 1985 sehingga berakhir dengan tragedi yang menumpahkan darah.

Menurut Kertas Tahanan 21 Memali, “gerakan tersebut ialah untuk menangkap Ibrahim Mahmood dan dua orang lain di bawah AKDN, tiga orang telah dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka serta 32 orang pengikut disyaki terlibat dalam pergerakan jenayah yang terselindung di rumah Ibrahim Mahmood…” Menurut sumber Kertas Putih yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, seramai 576 orang anggota polis telah digunakan dalam operasi tersebut. Manakala dari sumber penduduk kampung, seramai 3,600 orang anggota polis telah terlibat.

Operasi penangkapan ini berakhir dengan satu tragedi yang menyayat hati dan perasaan serta menarik perhatian antarabangsa. Ianya telah mengorbankan Ustaz Ibrahim bersama 13 orang lagi pengikutnya dan 4 anggota polis. Media massa saat itu sangat dominan dalam mencorakkan pemikiran serta naratif untuk dipersembahkan kepada rakyat.

Media arus perdana menghidangkan satu naratif yang menyudutkan mangsa ke kandang orang salah semenjak hari pertama tragedi, seolah-olah berlaku pertempuran yang dahsyat di antara pihak keselamatan dan pejuang Islam di negara ini. Ada laporan akhbar menyifatkan tragedi ini adalah satu peristiwa yang hampir sama dengan yang berlaku di Talang Sari dan tragedi Tanjung Periuk di Indonesia.

Suasana agak tegang selepas tragedi itu sehingga aktiviti penerangan PAS telah dibekukan oleh Kerajaan. Seluruh media massa terarah untuk mengkambing hitamkan PAS dan pimpinannya yang menyebabkan berlakunya peristiwa Memali terutamanya ‘amanat Tuan Guru Abdul Hadi Awang’ yang dikatakan mendominasi pemikiran pengikut PAS. Walhal amanat ini adalah penegasan bahawa siasah adalah tidak terpisah dengan ajaran Islam. Universiti tempatan serta para ilmuan Islam negara ini membahaskan secara akademik amanat ini, tiada yang bertentangan dengan Islam.

Peribadi Ustaz Ibrahim telah digambarkan sebagai penjenayah negara dan telah dituduh membawa ajaran sesat. Ironinya, Almarhum pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik peringkat Wilayah Persekutuan saat berkhidmat di Pusat Islam di Kuala Lumpur. BN dan media massa arus perdana mereka terus menyalahkan PAS tanpa diberi ruang untuk membela diri, naratif gelap yang cuba menjarakkan PAS daripada massa.

Di antara mereka yang terkorban dalam tragedi ini ialah Ustaz Ibrahim Mahmood, Ahmad Hassan, Syafie Dahaman, Abdullah Saman, Radzki@Zakaria Ahmad, Hambali Mohammad Senang, Idris A.Kadir, Mohd Aroff Hasyim, Zamri Mohd Isa, Abdullah Yassin, Mohd Daud Kadir dan Ahmad Ismail.

Manakala anggota polis yang terbunuh ialah Inspektor Azmi Hamzah, Sarjan Abd Rahman Mat Noor, Konstabel Jaafar Sain dan Konstabel Mohd Suli Uthman.

Pihak polis telah menahan seramai 110 orang pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud (penyokong Ustaz Ibrahim) dalam penjara dan menahan 36 orang di bawah ISA serta ditempatkan di Kem Kamunting, Taiping mulai 22 Januari 1986. Di antara mereka yang ditahan ialah:

1. Razali Abd Kadir
2. Abd Rahman Salleh
3. Hussain Yahya
4. Osman Salleh
5. Ishak Che Noh
6. Che Mid Che Teh
7. Shaari Ahmad
8. Elias Mahmood
9. Khatib Ibrahim
10. Tajuddin Osman
11. Ahmad Kadir
12. Abd Hamid Omar
13. Zulkifli Ishak
14. Sobiri Hassan
15. Ramli Salleh
16. Zakaria Jusoh
17. Manas Abdullah
18. Sahimi Hussain
19. Zaman Mahmod
20. Abd Rahim Awang Boh
21. Ishak Che Him
22. Azmi Jusuh
23. Abd Raof Ismail
24. Abd Rahim Husin
25. Abas Ibrahim
26. Md Piah Abdullah
27. Ramli Che Mid
28. Abdullah Che Soh
29. Ahmad Ayub
30. Mat Hassan Salim
31. Zakaria Abd Rahman
32. Jaafar Nayan
33. Mansur Othman
34. Azmi Salim
5. Md Piah Yunus
36. Mahmood Yusuf Husain

Dalam siasatan awal, pihak polis meletakkan mangsa Memali di beberapa buah balai polis yang berasingan manakala di Kamunting, saudara Yusuf Husin, orang kanan Ustaz Ibrahim, telah diletakkan berasingan daripada 35 tahanan yang lain.

Tekanan dan kritikan telah diberikan kepada pihak kerajaan dalam menangani operasi Memali ini dan penahanan mereka di bawah ISA. Beberapa pemimpin tertinggi PAS ketika itu berpendapat bahawa pihak polis sepatutnya mengepung kumpulan Ustaz Ibrahim Libya dan bukannya menyerang, malah ada individu yang mendakwa bahawa kematian di pihak polis adalah akibat terkena peluru M16, iaitu senjata pihak polis sendiri.

Tekanan yang agak kuat daripada PAS dan rakyat yang prihatin telah memaksa Menteri Dalam Negeri membebaskan tahanan ISA ini. Seramai 36 orang dibebaskan pada hari Selasa 3 Jun 1986 iaitu genap empat bulan mereka ‘direhatkan’ di kem Kamunting tanpa perbicaraan mahkamah.

Tragedi Memali adalah mercu tanda kezaliman yang dipahat dengan kejerihan, darah serta air mata, tiada siapa yang ingin melihat ianya berulang kembali. Sebuah ketololan sang penguasa menguruskan krisis yang sepatutnya boleh dielakkan agar tiada berlaku pertumpahan darah sama ada di kalangan orang awam atau anggota keselamatan negara.

Moga tragedi Memali terus dipasak kukuh dalam ingatan kolektif kita semua, bermuhasah akan kebijakan menguruskan krisis, meredam ego politik sang penguasa dan sejarah hitam yang meninggalkan parut yang sangat hodoh!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI- HARAKAHDAILY 31/12/2025

- Advertisement -