Dukacita atas syahidnya pejuang Palestin, Abu Ubaidah

Keteguhan perjuangan yang menginspirasikan

- Advertisement -

SELURUH pendukung perjuangan Palestin merakamkan rasa dukacita dan kesedihan yang amat mendalam atas laporan kesyahidan Abu Ubaidah, pejuang muqawamah Palestin yang menjadi simbol keteguhan, keberanian dan suara perjuangan rakyat Gaza dalam menghadapi kezaliman penjajahan Zionis Israel.

Allah SWT berfirman:

- Advertisement -

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, kerana kamulah yang paling tinggi darjatnya, jika kamu benar-benar beriman.” (Surah Āli ‘Imrān: 139)

Ayat ini menjadi roh kepada perjuangan Abu Ubaidah, bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada senjata semata-mata, tetapi pada iman, kesabaran dan keyakinan terhadap keadilan Ilahi.

29 Disember 2025, HAMAS mengesahkan bahawa Abu Ubaidah, yang selama ini dikenali hanya melalui nama hebat tersebut yang meniti bibir para pejuang Palestin seluruh dunia. Nama asal beliau Huthaifa Samir al-Kahlout. Beliau dilaporkan terkorban dalam serangan udara Israel ke atas Gaza pada Ogos lalu.

Abu Ubaidah dikenali dunia sebagai jurucakap Briged al-Qassam, sayap ketenteraan HAMAS.  suara dan pendiriannya menjadikan beliau ikon penentangan rakyat Palestin sejak bertahun-tahun.

Beliau secara konsisten menyampaikan mesej kepada dunia antarabangsa bahawa perjuangan Palestin adalah hak mempertahankan diri daripada penjajahan, bahawa muqawamah lahir daripada kepungan, pembunuhan dan penindasan sistematik, serta bahawa perjuangan ini akan diwarisi oleh generasi demi generasi sehingga Palestin dibebaskan sepenuhnya.

Dalam tempoh perjuangan pembebasan Palestin, sejak peristiwa Nakbah bermula tahun 1967, tokoh-tokoh serta simbol muqawamah Palestin telah menjadi sasaran utama serangan Israel, termasuk melalui pembunuhan terancang dan serangan udara. Dalam konteks inilah Abu Ubaidah dilaporkan syahid, menyertai barisan para syuhada Palestin yang gugur mempertahankan maruah dan tanah air mereka.

Seluruh pendukung perjuangan Palestin dengan tegas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang telah bertindak sebagai sebuah negara pengganas, melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, serta menyerang hospital, sekolah dan kem pelarian.

Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dan puluhan Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk penjajahan, penempatan haram dan keganasan terhadap rakyat Palestin. Kegagalan masyarakat antarabangsa menguatkuasakan resolusi-resolusi ini merupakan kegagalan moral global yang akan dihakimi oleh sejarah.

Seluruh pendukung perjuangan Palestin menegaskan bahawa perjuangan ini tidak akan undur dan tidak akan kalah. Darah para syuhada Palestin, termasuk Abu Ubaidah, adalah benih kebebasan yang akan terus menyuburkan kebangkitan sehingga Gaza dan seluruh bumi Palestin dibebaskan.

Seluruh pendukung perjuangan Palestin berdiri teguh bersama Palestin. Palestin pasti merdeka.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
31 Disember 2025 – HARAKAHDAILY 31/12/2025

- Advertisement -