Pendidikan: Sedia RM7 juta biasiswa, RM10 juta pinjaman

Satiful (tengah) bergambar bersama wakil institusi yang hadir menerima Cek Cura Bantuan One-Off Pengurusan Sekolah Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Negeri Terengganu Tahun 2025, Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu merancang memperuntukkan RM7 juta bagi penyediaan biasiswa dan mengekalkan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan dengan skop bidang pengajian yang lebih pelbagai, termasuk berasaskan Islam serta gabungan pendidikan konvensional dan Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, inisiatif itu bertujuan membuka peluang lebih luas kepada anak-anak Terengganu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Perkara ini boleh diambil sama manfaatnya oleh institusi-institusi pendidikan rakyat kita.

“Insya-Allah kita tidak mendiskriminasi sama ada lelaki atau perempuan, mana-mana institusi kecuali dengan mendapat kelulusan yang terbaik yang sebagai perasyarat kearah dia melayakkan  dia mendapat biasiswa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan One-Off Pengurusan Sekolah Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Negeri Terengganu Tahun 2025, Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah JPINT, Mohd Zaini Mohd Nor dan Timbalan Timbalan Pengarah (Operasi) JPINT, Sahari Anuar Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh ekosistem pendidikan Islam bermula dari peringkat prasekolah melalui Skim Mus’ab bin Umair yang menyediakan bantuan kewangan kepada guru-gurunya.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Yayasan Islam Terengganu bagi memastikan pendidikan kelas agama dan fardu ain dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” jelasnya.

Katanya, usaha itu juga diteruskan di peringkat sekolah rendah dan menengah menerusi Skim Al-Ghazali untuk memperkasakan institusi pendidikan negeri seperti Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI).

Hasrat kerajaan negeri, katanya, adalah untuk memastikan tiada lagi anak Terengganu yang buta al-Quran, sekurang-kurangnya mampu menguasai tuntutan asas fardu ain berkaitan al-Quran.

Beliau turut mengingatkan bahawa Terengganu sejak dahulu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam, sebagaimana dicatatkan dalam sejarah pelayar dan pengunjung pada abad-abad lalu.

“Kita berusaha untuk terus mengekalkan kedudukan Terengganu sebagai negeri majoriti Muslim, dengan kira-kira 96 hingga 97 peratus penduduknya terdiri daripada Melayu Islam. Malah, prinsip Itqan al-Mulk bita‘dil al-Suluk secara jelas meletakkan Terengganu sebagai sebuah negeri Melayu Islam, insya-Allah.

“Sehubungan itu, kita berharap warisan ini dapat dipertahankan untuk 700 tahun akan datang, sebagaimana 700 tahun yang lalu penemuan Batu Bersurat telah menggambarkan kedudukan dan status Islam yang kukuh di negeri ini, untuk terus dipelihara demi generasi masa hadapan,” katanya.

Mengambil iktibar kejatuhan kerajaan Islam seperti Andalusia, Mesir dan wilayah lain, beliau berkata, pengukuhan pendidikan dan institusi Islam adalah benteng utama bagi mempertahankan akidah serta jati diri umat.

“Kita harap institusi-institusi pendidikan, pihak kerajaan dan juga para alim ulama, masyarakat kita boleh bersatu di bawah satu payung ini untuk terus mengukuhkan asas pendidikan, kekuatan ataupun benteng hidup kita ini untuk terus melonjakkan Negeri Terengganu untuk masa-masa yang akan datang,” katanya.

Kerajaan negeri juga membuka ruang seluas-luasnya kepada institusi pendidikan untuk berdaftar di bawah pentadbiran Negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 20/12/2025

- Advertisement -