Rancang tubuh Imtiaz Tahfiz Jepun, Korea mulai 2026

Ustaz Satiful Bahri Mamat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu merancang mewujudkan dua lagi institusi pendidikan baharu iaitu Imtiaz Tahfiz Jepun dan Tahfiz Korea masing-masing di Marang dan Kuala Nerus bermula 2026 bagi melahirkan huffaz berkemahiran bahasa asing serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, inisiatif itu bertujuan menyediakan asas penguasaan bahasa asing kepada pelajar tahfiz sebelum mereka melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran seperti kejuruteraan, sains dan teknologi.

“Kita tidak menghantar pelajar untuk menghafaz al-Quran di luar negara. Hafazan al-Quran diselesaikan di sini sebagai asas, kemudian mereka menyambung pengajian dalam bidang profesional, namun kekal sebagai hafiz dan hafizah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan One-Off Pengurusan Sekolah Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Negeri Terengganu Tahun 2025, Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah JPINT, Mohd Zaini Mohd Nor dan Timbalan Timbalan Pengarah (Operasi) JPINT, Sahari Anuar Ahmad.

Beliau berkata, pendekatan itu telah bermula sejak 2020 menerusi penubuhan Imtiaz Tahfiz Mandarin di Marang yang menerima seramai 20 pelajar.

“Daripada jumlah itu, lima pelajar dihantar melanjutkan pengajian ke China, termasuk seorang penerima biasiswa tajaan kerajaan China dan empat lagi ditaja Yayasan Terengganu. Dua pelajar lain dihantar ke luar negara melalui tajaan Petronas dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya.

Menurut beliau, sebahagian pelajar tidak dapat dihantar ke China berikutan kekangan keizinan ibu bapa yang masih bimbang mengenai faktor agama dan persekitaran negara bukan Islam.

“Hakikatnya, China mempunyai antara 80 hingga 90 juta penduduk Islam dengan kemudahan makanan halal yang mencukupi. Peluang biasiswa di sana juga sangat luas,” katanya.

Satiful berkata, bermula tahun ini kerajaan negeri akan meningkatkan penghantaran pelajar ke luar negara, manakala penubuhan Imtiaz Tahfiz Jepun dan Korea dijangka membuka lebih banyak laluan pendidikan bertaraf global kepada pelajar tahfiz.

Beliau berkata, sistem pendidikan itu selari dengan tradisi pendidikan Islam yang menekankan penguasaan al-Quran sejak usia muda sebelum mendalami ilmu sains, falsafah dan perubatan, sebagaimana yang diamalkan oleh tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai generasi pelapis yang cemerlang dalam ilmu agama dan profesional, walaupun mereka bermula dari pondok atau institusi tahfiz,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2025

- Advertisement -