
AYER KEROH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, menyifatkan cadangan kerajaan negeri untuk melanjutkan waktu operasi rumah urut dan pusat hiburan sehingga jam 2 pagi sebagai petanda hilangnya kompas moral dan rasional dalam penggubalan dasar.
Beliau berkata, walaupun laporan awal berhubung cadangan itu kemudiannya diterbitkan semula dengan ralat dan penjelasan bahawa ia masih dalam peringkat penelitian serta terhad kepada kawasan tertentu, perkara itu tidak mengubah persoalan pokok yang lebih besar dan membimbangkan.
Menurutnya, kecenderungan kerajaan negeri untuk melonggarkan kawalan terhadap premis berisiko tinggi dari sudut sosial tetap wujud, walau di mana sekalipun ia dilaksanakan.
“Isu sebenar bukan di kawasan mana atau jam berapa, tetapi mengapa kerajaan negeri memilih untuk mempertimbangkan dasar yang jelas berpotensi menambah masalah sosial, sedangkan rekod sedia ada masih menunjukkan kegagalan kawalan yang berkesan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dr Mohd Yadzil berkata, kerajaan negeri cuba mempertahankan cadangan berkenaan atas alasan ekonomi dan pelancongan, namun pendekatan itu menimbulkan persoalan besar terhadap hala tuju sebenar pembangunan negeri.
Beliau mempersoalkan sama ada Melaka benar-benar ketandusan idea pembangunan ekonomi sehingga rumah urut dan pusat hiburan perlu dijadikan pemacu utama pertumbuhan.
“Jika benar ekonomi Melaka terlalu rapuh sehingga perlu bergantung kepada lanjutan aktiviti malam berisiko tinggi, maka itu satu pengakuan kegagalan dasar ekonomi kerajaan negeri sendiri,” tempelaknya.
Gejala sosial tak dipadan dengan ralat
Mengulas isu gejala sosial, Dr Mohd Yadzil berkata, rumah urut dan pusat hiburan di Melaka telah lama dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial termasuk kes khalwat, bersekedudukan tanpa nikah serta aktiviti tidak bermoral lain.
Menurutnya, aduan awam berkaitan gangguan sosial selain serbuan dan tangkapan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berlaku berulang kali.
“Operasi bersepadu sebelum ini jelas membuktikan bahawa masalah sosial sedia ada pun masih belum mampu ditangani sepenuhnya, apatah lagi jika waktu operasi dilanjutkan hingga awal pagi. Ini bukan persepsi, tetapi rekod penguatkuasaan yang dilaporkan secara terbuka,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah tidak bertanggungjawab untuk kerajaan negeri berpura-pura bahawa lanjutan waktu operasi, walaupun kononnya ‘terhad’ dan ‘dikawal’, tidak akan membawa implikasi sosial yang sama atau lebih serius.
Keupayaan penguatkuasaan JAIM
Dr Mohd Yadzil turut mempersoalkan keupayaan penguatkuasaan, khususnya melibatkan JAIM, yang sering dijulang kerajaan negeri sebagai benteng moral masyarakat.
Beliau berkata, persoalan sebenar ialah sama ada JAIM benar-benar mempunyai keupayaan untuk melakukan pemantauan konsisten sehingga awal pagi setiap hari di semua kawasan terlibat, selain kekangan sumber manusia dan logistik yang dihadapi.
“Cadangan ini akhirnya akan melepaskan beban kepada agensi penguatkuasa tanpa keupayaan sebenar untuk menanggungnya,” ulasnya.
Bajet besar, masalah lebih besar
Mengulas Bajet Melaka 2026, beliau berkata kerajaan negeri baru sahaja membentangkan bajet dengan peruntukan hampir RM80 juta kepada JAIM kononnya untuk memperkukuh agenda agama dan sosial, namun pada masa sama mahu melonggarkan kawalan terhadap premis berisiko tinggi.
Menurutnya, langkah itu menimbulkan ironi besar dan menimbulkan persoalan sama ada peruntukan besar itu benar-benar bertujuan memperkukuh nilai atau sekadar menampung kesan buruk dasar kerajaan negeri sendiri.
Dr Mohd Yadzil menegaskan, jika kerajaan negeri membuka lebih banyak ruang kepada aktiviti berisiko sosial, sebanyak mana pun peruntukan kepada JAIM tidak akan mampu menutup kerosakan yang berpunca daripada dasar yang bercanggah arah.
Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penguatkuasaan, menutup ruang salah guna lesen, memfokuskan pembangunan ekonomi berimpak tinggi dan beretika serta memelihara keharmonian sosial dan nilai masyarakat Melaka.
“Ralat laporan media tidak menghalalkan dasar yang salah arah. Isu sebenar ialah keutamaan dan prinsip kerajaan negeri. Melaka tidak memerlukan dasar yang menguji kesabaran rakyat dan merisikokan keharmonian sosial.
”Kerajaan negeri wajar menarik balik sepenuhnya cadangan ini dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang tidak mengorbankan nilai, keselamatan sosial dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan Melaka bukan medan eksperimen sosial dan rakyat bukan bahan ujikaji dasar yang songsang. – HARAKAHDAILY 20/12/2025











