DAP hanya berlakon politik melalui surat terbuka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan surat Penasihat DAP, Lim Guan Eng kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak lebih daripada satu bentuk lakonan politik yang bertujuan mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, tindakan mengeluarkan surat terbuka itu hanya bertujuan membina persepsi palsu seolah-olah wujud keikhlasan dan keberanian memperjuangkan agenda tertentu, sedangkan ia tidak memberi kesan dasar yang nyata.

“Dokumen ini pada hakikatnya tidak lebih daripada satu lakonan politik yang bertujuan mengelirukan rakyat dan membina persepsi palsu seolah-olah wujud keikhlasan serta keberanian untuk memperjuangkan agenda tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pendekatan itu hanya berfungsi sebagai bahan propaganda awam untuk meraih simpati serta sokongan politik tanpa komitmen sebenar untuk melaksanakannya dalam kerangka kuasa sedia ada.

Jika DAP benar-benar serius mahu melaksanakan agenda yang disebut dalam surat itu, beliau menegaskan saluran rasmi kerajaan adalah tempat sepatutnya digunakan.

“(Ia) memandangkan DAP merupakan komponen utama Kerajaan Persekutuan. Mereka mempunyai akses kepada Kabinet, saluran perbincangan dasar, mekanisme pentadbiran serta pengaruh politik yang mencukupi untuk mendesak dan melaksanakan perubahan.

“Maka, tindakan memilih pendekatan surat terbuka hanya menimbulkan persoalan besar tentang keikhlasan sebenar, kerana ia dilakukan ketika kuasa berada di tangan mereka sendiri,” ulasnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengingatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan apa yang disifatkan sebagai sandiwara politik DAP yang cuba memisahkan diri daripada tanggungjawab kerajaan.

“Politik sandiwara seperti ini telah berulang kali dipertontonkan iaitu bersuara lantang di luar, tetapi senyap dan berkompromi di dalam. Justeru, rakyat perlu menilai tindakan, bukan retorik; hasil, bukan lakonan.

“Selagi DAP berada dalam kerajaan, segala kegagalan melaksanakan agenda ini adalah kegagalan mereka sendiri, bukan alasan untuk dipentaskan melalui surat terbuka semata-mata,” katanya.

Terdahulu, tular surat tersebut yang menceritakan krisis keyakinan penyokong Pakatan Harapan (PH) hanya dapat dipulihkan melalui pelaksanaan segera janji Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 serta dasar yang menjaga kepentingan semua termasuk Sabah dan Sarawak.

Surat itu menggariskan sepuluh tuntutan utama meliputi penambahan peruntukan bukan Bumiputera, pembekuan peluasan cukai penjualan dan perkhidmatan (SST), perlindungan industri tempatan dan penyelesaian cukai tertunggak.

Ia termasuk pembatalan caruman dan penalti membebankan, keutamaan hak negeri, pengecualian Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) daripada e-invois serta penubuhan tribunal pembayar cukai.

Guan Eng menegaskan semua langkah itu perlu disegerakan bagi memastikan keadilan, mengurangkan beban rakyat dan menjamin keyakinan terhadap kerajaan. – HARAKAHDAILY 12/12/2025

- Advertisement -

- Advertisement -