
SHAH ALAM: Isu sampah yang tidak dikutip mengikut jadual di Selangor bukan sekadar berpunca daripada kelemahan kontraktor, tetapi turut disumbangkan oleh keadaan laluan ke tapak pelupusan kritikal dan ‘hancur’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah mendedahkan, laluan lori sampah menuju ke tapak pelupusan di Tanjung 12 berada dalam keadaan sangat teruk, berlubang dan berlumpur sehingga menyebabkan kenderaan berat tersadai.
Tegasnya, gambar kerosakan jalan yang tular bukanlah janaan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya adalah realiti sebenar perlu dilalui pemandu lori sampah setiap hari.
“Jika laluan ke tapak pelupusan pun tidak terurus, bagaimana kutipan sampah hendak berjalan mengikut jadual? Dahulu, aduan yang kami terima daripada kontraktor sampah adalah lori rosak, patah gandar dan sebagainya. Kali ini, lebih dari itu. Lori tersadai dalam parit pula,” katanya.
Menurut Shafie, beliau telah membangkitkan isu ini dalam Sidang Dewan Negeri yang lepas dan mendesak supaya kerja baik pulih dilakukan dengan status ‘segera’.
Namun, beliau meluahkan rasa kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri yang disifatkan tidak mengambil tindakan wajar, sebaliknya hanya memberikan jawapan selamat seperti ‘sudah dibaiki’, ‘sentiasa pantau’ dan ‘akan ambil tindakan’.
“Saya bercakap di dalam Dewan kerana saya tahu, dengan mata kepala saya sendiri, bahawa keadaan jalan ini teruk, sangat teruk. Kerajaan Negeri mesti buat lebih dari itu. Jika masih beginilah keadaan laluannya, tidak hairan kenapa masalah jadual kutipan sampah selalu berlaku,” ujarnya.
Lebih mengecewakan, Shafie mendedahkan bahawa sejak beberapa bulan lalu, pihaknya tidak lagi dipanggil ke mesyuarat-mesyuarat penting berkaitan isu tersebut, seolah-olah penyelesaian masalah rakyat bukan lagi keutamaan pihak berwajib.
Tambahnya, Selangor menghasilkan hampir 7,000 tan sampah setiap hari yang memerlukan operasi kutipan efisien, namun sistem tersebut akan lumpuh sekiranya laluan asas tidak diselenggara dengan baik.
“Buat sahaja carian di internet, maka kita akan melihat seribu satu masalah yang timbul berkait lori sampah milik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB).
“Sampai bila hendak dibiarkan? Tidak hairan apabila Tuanku Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan ‘muak’ dengan keadaan kebersihan negeri ini,” katanya.
Beliau memberi amaran, jika laluan logistik utama ini terus dibiarkan rosak, seluruh ekosistem pengurusan sampah di Selangor akan terus lumpuh dan akhirnya rakyat yang akan menanggung akibatnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2025















