Gesa Dana Khas MB dibuka kepada pembangkang

Kamarol Ridzuan Mohd Zain
- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan digesa membuka permohonan ‘Akaun Amanah Dana Khas Menteri Besar’ kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang memandangkan terdapat baki peruntukan yang besar tidak dibelanjakan akibat kurang permohonan.

- Advertisement -

​Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2025, akaun amanah tersebut masih mencatatkan baki sebanyak RM15.06 juta pada tahun 2024.

Menurut beliau, laporan itu turut menyatakan antara sebab utama baki tersebut tidak digunakan adalah kerana kurangnya permohonan sumbangan daripada individu atau pihak yang disenaraikan dalam arahan amanah berkenaan.

​“Izinkan saya memberi cadangan, jika benar permintaan kurang, maka eloklah dibuka ruang kepada kami ADUN pembangkang yang sentiasa bersungguh-sungguh memohon, demi manfaat rakyat yang kami wakili.

​“Kami di blok pembangkang bukan menagih simpati, apatah lagi mendesak tanpa asas, tetapi menuntut hak yang adil untuk memastikan perkhidmatan dan kebajikan rakyat di kawasan kami tidak ketinggalan hanya kerana perbezaan logo parti,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Kamarol menegaskan, keadilan fiskal tidak sewajarnya bersifat selektif atau partisan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan sering melaungkan slogan Madani.

Beliau menyatakan, integriti pentadbiran dan tadbir urus yang baik (good governance) bermaksud menyantuni semua kawasan secara adil tanpa meminggirkan mana-mana pihak semata-mata kerana mereka tidak berada dalam blok kerajaan.

​“Jika Madani menjadi tema Belanjawan, maka tunjukkanlah keadilan dalam tindakan, bukan hanya dalam ucapan dan atas kertas.

​“Sekiranya ruang ini dibuka, ia bukan sahaja menyelesaikan isu lambakan baki dana yang tidak dibelanjakan, malah memastikan wang rakyat benar-benar kembali kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira sempadan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -