Menteri Besar lawat Mesir tinjau pembinaan asrama

- Advertisement -

KAHERAH, Mesir: “Tiada harapan yang lain kepada anak-anak pelajar kita, melainkan belajar bersungguh-sungguh dan kejar ilmu,” kata Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

- Advertisement -

Beliau merujuk kepada kesungguhan kerajaan negeri menyediakan kemudahan kepada pelajar selain menjaga kebajikan melalui persatuan yang dikenali Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM).

Malah beliau berkata, sehingga Ogos 2022 Kelantan sudah memiliki lima buah bangunan kediaman pelajar yang diselia melalui anak syarikat kerajaan negeri, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

“Hari ini saya melawat perkembangan terkini pembinaan asrama baharu pelajar Kelantan di Kaherah, asrama ini merupakan asrama kelima dibina untuk kemudahan dan keselesaan kepada pelajar.

“Saya berpuas hati dengan kemajuan semasa dengan perabot telah dipasang dan Insya-Allah sedikit masa lagi akan dibuka kepada pelajar selepas kerja-kerja akhir selesai,” katanya di _Facebook_ hari ini.

Dalam lawatan tersebut beliau turut meluangkan masa berjumpa dan beramah mesra bersama kira-kira 500 pelajar anak Kelantan yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK).

Turut hadir Menteri Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Dato’ Shamsul Najmi Shamsuddin.

Pada pertemuan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menitipkan kata-kata semangat agar sentiasa bersungguh mengejar ilmu agama, apatah lagi ketika berada di Universiti al Azhar.

Malah beliau berkata, pelajar hari ini beruntung kerana mendapat perhatian yang penuh kerajaan negeri dan menyediakan kemudahan dan keselesaan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam aspek pendidikan dan pembangunan minda serta sahsiah rakyat kerana mereka adalah pewaris yang akan kembali berkhidmat memimpin ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2025

- Advertisement -