
GOMBAK: Jenazah bekas Penolong Setiausaha Agung PAS, Almarhum Khairul Fahmi Mat Som, selamat disolatkan dan disemadikan selepas pemergian beliau pada 1 Disember lalu.
Solat jenazah berlangsung di Masjid Al-Khairiyah, Taman Gombak Setia, semalam, dengan anak bongsunya, Ameer Yusof, bertindak sebagai imam dalam suasana hiba yang menyaksikan kehadiran keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan.
Antara pimpinan PAS yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Datuk Idris Hj Ahmad, Setiausaha Agung, Datuk Seri Takuyuddin Hassan, Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari, Penolong Setiausaha Agung, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan ramai yang lain.
Selesai disolatkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata untuk pengebumian.
Proses pengkebumian berjalan lancar dengan diiringi doa dan penghormatan terakhir para hadirian yang menzahirkan rasa kehilangan terhadap insan yang banyak menabur bakti di Gombak dan dalam PAS.
Almarhum dikenang sebagai seorang pemimpin yang amanah, berjiwa rakyat dan komited dengan gerak kerja jamaah sehingga ke akhir hayat.
Pemergiannya terus dirasai oleh seluruh warga PAS serta masyarakat setempat yang pernah merasai sentuhan khidmatnya. – HARAKAHDAILY 3/12/2025















