
SEPANGGAR: “Ini kali, Karambunai kita kasi jadi!” kata Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menerusi catatan di laman Facebook rasminya.
Beliau menyatakan untuk membawa tekad yang tulus untuk berkhidmat sepenuh hati kepada penduduk Karambunai.
Semalam, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri telah diumumkan sebagai calon PN bagi DUN N.16 Karambunai pada Pilihan Raya PAS Negeri (PRN) ke-17.
Selain beliau, wakil daripada PAS yang turut diumumkan sebagai calon PN pada PRN kali ini ialah Ahmad Dullah (DUN Tanjung Batu), Dr Munzier Mahamud (Balung), Hasan Haris (Merotai) dan Kasman Karate (Kunak).
“Saya bukan datang dengan janji kosong, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat sepenuh hati untuk mendengar suara rakyat, memahami denyut nadi komuniti dan membawa perubahan yang benar-benar dirasai oleh semua lapisan masyarakat Karambunai,” kata Dr Aliakbar.
Beliau menegaskan komitmennya untuk membawa perubahan yang benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Karambunai bukan sekadar rumah kita, tetapi ia tempat kita membina masa depan anak-anak dan harapan generasi akan datang,” ujar beliau yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah.
Menurutnya lagi, perjuangan bersama PN memberi keyakinan baharu untuk membangunkan Karambunai sebagai kawasan yang lebih baik, harmoni dan sejahtera dengan melibatkan penyertaan rakyat secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Dr Aliakbar menyeru seluruh pengundi agar bersatu hati membawa kemenangan buat PN di Karambunai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai tarikh pengundian PRN Sabah ke-17 sementara penamaan calon pada 15 November manakala pengundian awal 25 November. – HARAKAHDAILY 12/11/2025











