PAS tekad ‘hogoh’ satu demi satu DUN di Pahang

- Advertisement -

CAMERON HIGHLANDS: Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar bertekad akan menggoncang satu persatu DUN di Pahang pada tahun hadapan melalui penganjuran ‘hogoh’ secara bersiri. 

- Advertisement -

Beliau mengumumkan  ‘berita baik’, hogoh siri kedua bakal diadakan di Benta sebagai pembuka gelanggang 2026, ketika berucap di hadapan jentera pilihan raya PAS Pahang di Dataran Simpang Koyan, di sini kelmarin dahulu.

“Program ni tak habis di sini, Perikatan Nasional (PN) serius nak tawan Pahang pada PRU16. Sekarang kita buat Hogoh Jelai, disebabkan mereka persenda program kita dan kita lihat kejayaan Hogoh Jelai pada malam ni, insya-Allah selepas ini kita akan hogoh DU  lain pula,” katanya.

Biarpun dipersenda dan disabotaj dari segenap sudut oleh pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan program ini ujarnya, ia tidak sesekali mematahkan semangat jentera untuk terus mara turun ke lapangan.

Malah tekad beliau, pihaknya menyambut baik ‘kata-kata aluan’ daripada Menteri Besar yang meminta supaya penduduk, peniaga-peniaga di Jelai menyambut kedatangan tetamu dengan menyediakan makanan lazat dan terbaik.

“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya tuan-tuan. Hotel-hotel dan homestay telah pun mereka ‘block’ tuan-tuan sekalian, termasuk Jelai Inn, kami dimaklumkan bahawa semua bilik telah ditempah pada tarikh hogoh Jelai.

“Berbagai-bagai cara mereka buat supaya program Hogoh Jelai gagal, tetapi alhamdulillah, tuan-tuan datang memenuhi program malam ni.

“Hasil daripada perbincangan, insya-Allah 2026, kita akan laksanakan program Hogoh Benta, kita tak kira apa terjadi, kita nak hogoh!” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu diiringi laungan takbir.

Hogoh Jelai ujarnya, bukan sekadar satu program menghimpunkan jentera pilihan raya PAS Pahang tetapi juga untuk memperkenalkan Perikatan Nasional (PN) kepada masyarakat.

Himpunan itu telah diserikan dengan kehadiran Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Timbalannya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man selain Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Juga Pengerusi PN Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan Ketua BERSATU Negeri, Datuk Abdul Khalib Abdullah. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -