
ALOR SETAR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang dalam kenyataan awal membenarkan empat pelajar disyaki perogol untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disifatkan sebagai sangat tidak sensitif.
Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Kedah, Mardhiyyah Johari berkata, ia membelakangkan nasib mangsa di mana mengalami trauma akibat perbuatan pelaku yang kehilangan sifat kemanusiaan.
Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang menjelaskan, walaupun pada awalnya suspek belum disabitkan kesalahan, bukti terhadap kes tersebut sangat kuat dengan adanya rakaman video dan keterangan mangsa yang masih hidup.
“Yang utama bukannya ketinggalan pelajaran semata-mata, tetapi kehilangan sifat kemanusiaan. Dah tak jadi macam orang dah. Cuba bayangkan kalau mangsa atau keluarga mangsa, ataupun ada sesiapa sampaikan kepada mangsa dan keluarganya tentang kenyataan menteri ini.
“Tengok, empat pelajar lelaki itu boleh ambil SPM macam biasa. Pendidikan mereka tak terganggu. Tapi mangsa? Psikologi, emosi, kehidupan dan pendidikan dia dah tak sama macam sebelum ini,” tegasnya.
Beliau juga berkata, mangsa pelajar perempuan tingkatan tiga itu bukan sekadar berisiko kehilangan pendidikan, tetapi mungkin kehilangan kehidupannya akibat kesan psikologi yang mendalam.
“Kita perlu berikan mesej yang betul kepada masyarakat, terutamanya mereka yang di bawah umur. Apabila anda melakukan jenayah, terutama sekali perbuatan yang begitu jijik, maka ada implikasi terhadap perbuatan anda.
“Jangan fikir bahawa anda boleh hidup sama macam orang lain, boleh happy-happy ambil SPM macam biasa tanpa implikasi,” bidas beliau berpandangan, sekiranya pelajar terbabit tetap mahu diberikan peluang menduduki SPM, mereka perlu diasingkan dan tidak boleh mengambil peperiksaan di sekolah seperti biasa.
Terdahulu, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa empat pelajar yang terlibat akan tetap dibenarkan menduduki SPM selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua memandangkan kes masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam satu sidang media khas mengumumkan bahawa Lembaga Tatatertib Sekolah telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman buang sekolah serta-merta ke atas keempat-empat pelajar terbabit.
Dalam kejadian di sebuah sekolah di Alor Gajah minggu lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dipercayai telah dirogol secara bergilir-gilir oleh dua pelajar senior, manakala perbuatan keji itu dirakam oleh dua lagi pelajar lain.
Kesemua suspek yang berusia 17 tahun itu telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











