Sikap dan prinsip mantan Mufti Jordan terhadap rejim Zionis

- Advertisement -

Syeikh Nuh Ali Salman Al-Qudah, mantan Mufti Jordan, guru yang saya sayangi, ketika hayatnya menunjukkan sikap dan prinsipnya mengenai Yahudi dan negara haram Israel yang jahat.

- Advertisement -

Beliau pernah menyertai 2 peperangan iaitu al-Karamah di mana ketika itu beliau menjadi pembimbing agama kepada 1 unit tentera Jordan. Satu lagi perang di bulan Ramadan pada tahun 1973. Ketika itu beliau menjadi Mufti Angkatan Tentera Jordan.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Qadi al-Qudah, satu jawatan yang sama taraf dengan menteri di Jordan kerana tidak setuju dengan perjanjian damai antara Jordan dan negara haram Israel yang ditandatangani oleh Raja Husein, Raja Jordan, Bill Clinton, Presiden Amerika Syarikat dan Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel di Aqabah, Jordan pada tahun 1993.

Kalau beliau gila jawatan, boleh sahaja kekal di jawatan tersebut sambil diam dan goyang kaki menerima gaji besar.

Dalam satu khutbah Jumaat beliau di Masjid Universiti Yarmouk, Irbid (kini masjid itu diletak nama: Masjid Syeikh Nuh) pada tahun 1993, beliau berkata di atas mimbar: “Kambing dan serigala telah berbaik. Namun, serigala tidak pernah lupa bahawa kambing itu adalah makanannya”. Kambing merujuk kepada negara Arab dan serigala merujuk kepada negara haram Israel.

Dalam khutbah Jumaat yang lain, beliau menyebut bahawa di akhir zaman nanti, pokok dan batu akan memberitahu orang Islam, ada Yahudi bersembunyi di belakangnya. Syeikh Nuh menyebut: “Mungkin anda rasa pelik batu dan kayu boleh bercakap, tetapi jika anda panjang umur, anda tidak akan rasa pelik mengenai perkara tersebut”. Beliau bacakan hadis:
من لا يرحم، لا يرحم
“Orang yang tidak ada rasa kasih sayang dan rahmat terhadap yang lain, tidak akan dirahmati” tanpa menghuraikan makna yang tersirat daripada hadis itu.

Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh Nuh di dalam khutbahnya ialah:

لا تقومُ الساعةُ حتى يقاتلَ المسلمون اليهودَ ، فيقتلُهم المسلمون ، حتى يختبيءَ اليهوديُّ من وراءِ الحجرِ و الشجرِ ، فيقولُ الحجرُ أو الشجرُ : يا مسلمُ يا عبدَ اللهِ هذا يهوديٌّ خلفي ، فتعالَ فاقْتلْه . إلا الغَرْقَدَ ، فإنه من شجرِ اليهودِ

“Tidak berlaku kiamat sehingga orang Islam memerangi orang Yahudi. Orang Islam akan membunuh Yahudi, sehingga orang Yahudi bersembunyi di belakang batu dan pokok. Batu atau pokok berkata: Wahai orang Islam! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi di belakangku. Mari! Bunuhlah dia melainkan pokok gharqad. Ia adalah pokok Yahudi.”

Dalam khutbah itu, beliau juga memberi komen tentang ‘agama Ibrahim’ yang kononnya diakui oleh Clinton dan 2 pemimpin Jordan dan negara haram Israel ketika itu. Beliau berkata: “Mereka ( Nasrani dan Yahudi) menganggap mereka juga menuruti agama dan jejak langkah Nabi Ibrahim, sedangkan yang mereka praktikkan ialah membunuh manusia lain, dan menyembah tuhan selain Allah. Yang beriman tetap beriman. Yang kufur tetap kufur”.

Prinsip dan sikap Syeikh Nuh yang jelas mengenai Yahudi yang zalim dan negara haram Israel ini sangat penting untuk diikuti oleh orang Islam agar mereka tahu batas dan hukum, boleh dan tidak boleh, prinsip dan cabang mengenai hubungan dengan Yahudi dan negara haram Israel ini.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Terengganu – HARAKAHDAILY 11/10/2025

- Advertisement -