
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menegaskan komitmen untuk terus bersama penduduk Flat Kos Rendah Kuchai dalam usaha mempertahankan kediaman mereka yang didakwa cuba dirampas oleh pihak pemaju.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Ramli, berkata isu tersebut mula tercetus pada awal Ogos lalu apabila penduduk di Kuchai Entrepreneurs Park (KEP), Kuchai Lama, menerima risalah (flyers) yang diedarkan ke setiap pintu rumah mengenai rancangan pembangunan semula kawasan perumahan mereka.
Menurutnya, risalah berkenaan memaklumkan bahawa lima blok (Blok 1 hingga 5) akan diambil oleh pemaju, Kuchai Point Sdn Bhd, bagi tujuan pembinaan kondominium baharu, manakala penduduk sedia ada akan dipindahkan ke unit-unit kondominium tersebut.
“Lebih membimbangkan, wujud pihak ‘broker’ yang bertindak sebagai jurucakap pemaju untuk mempengaruhi penduduk menyerahkan hak milik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Razak menjelaskan, antara tindakan yang mencurigakan termasuklah permintaan kepada penduduk untuk menandatangani satu dokumen bancian sama ada bersetuju atau menolak projek berkenaan.
“Makluman mengenai pembangunan ini disampaikan pada 1 Ogos dan pada 3 Ogos, pihak pemaju melalui ‘broker’ mereka mengadakan sesi penjelasan serta mengutip tandatangan daripada penduduk,” ujarnya.
Beliau mendakwa, broker-broker terbabit turut menggunakan nama pertubuhan tempatan seperti Kelab Rukun Tetangga (KRT), RUPKEP dan Jawatankuasa Surau Al-Hidayah sebagai medium untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk.
“Pada tarikh itu juga berlaku pertikaman lidah antara penduduk dan broker apabila mereka memberi amaran serta ugutan kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan tersebut,” katanya.
Abdul Razak turut menyifatkan kandungan risalah yang diedarkan itu ‘tidak berperlembagaan’ dan menggambarkan seolah-olah ada usaha untuk merampas tanah penduduk demi kepentingan pihak tertentu.
Katanya, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memandang serius perkara tersebut dan menjadikan isu ini sebagai keutamaan, sama seperti kes yang pernah berlaku di Kampung Sungai Baru sebelum ini.
“Kami akan terus bersama penduduk dalam memperjuangkan hak mereka agar tidak dizalimi oleh mana-mana pihak,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2025












