
DATUK Seri Dr Zaliha Mustafa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
Blok 1 & Blok 2, Menara Seri Wilayah
Presint 2, 62100 Putrajaya.
Datuk Seri,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ‘mislead’ di Parlimen dalam isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur
Saya sangat terperanjat membaca kenyataan Datuk Seri di sesi Penerangan Khas di Dewan Rakyat mengenai perkara di atas, semalam (09/10/2025) yang antara lain menyebut:
“… pewartaan pengambilan tanah melibatkan Kampung Sungai Baru pada 2021 dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh hanya tiga hari…”
“… Pemaju telah menghantar permohonan kepada kementerian untuk mengambil tanah itu termasuk unit flat dan lot teres…”
“… Permohonan itu kemudiannya dipertimbangkan dalam mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah Persekutuan pada 9 September 2020 dipengerusikan menteri ketika itu, Annuar Musa…”
“… Pewartaan Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) dilaksanakan pada 18 dan 21 Jun 2021 — dalam tempoh tiga hari sahaja, iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad?”
“… Keputusan itu perlu ditanya kepada menteri ketika itu. Disebabkan tindakan tergesa-gesa, keseluruhan tanah itu kini menjadi hak milik pemaju…”
Kenyataan-kenyataan di atas merupakan satu penyelewengan fakta, memesongkan (mislead) Dewan Rakyat dan merupakan fitnah yang serius.
Ia juga menunjukkan kelemahan Datuk Seri sebagai anggota pentadbiran apabila gagal memahami skop tugas dan tanggungjawab Menteri serta sesebuah Kementerian serta gagal memahami undang-undang terutama Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.
Akibatnya, kenyataan tersebut yang telah dilaporkan dengan meluas dalam hampir semua media utama dan media sosial telah memberi gambaran dan fakta yang salah sedangkan ianya dibuat di Parlimen yang mulia.
Kenyataan ini memberi kesan amat besar khususnya kepada reputasi, integriti dan nama baik saya apabila tuduhan ditujukan secara langsung kepada saya berdasarkan fakta yang salah sama sekali.
Saya dengan ini memberi notis dan peluang kepada Datuk Seri untuk menjelaskan dan mengulangi tuduhan ini secara bersemuka dengan saya di luar Parlimen melalui dua (2) pilihan berikut:
Pertama:
Saya dengan ini menjemput Datuk Seri untuk menjadi tetamu di Podcast MUAFAKAT pada hari Isnin 13 atau Selasa 14 atau Rabu 15 Oktober 2025, bertempat di Studio Podcast Muafakat, Plaza Damas, Kuala Lumpur dan waktu mengikut kelapangan Datuk Seri. Datuk Seri boleh mengulangi kenyataan di Dewan Rakyat itu dan saya akan membuktikan bahawa Datuk Seri telah berbohong kepada Parlimen, serta telah melakukan fitnah serta memesongkan fakta sebenar berhubung perkara berkenaan.
Kedua:
Sekiranya Datuk Seri tidak berani berdepan secara bersemuka di Podcast MUAFAKAT pada 3 pilihan tarikh yang saya cadangkan, sebagai alternatif saya juga bersedia untuk hadir di Sidang Pasca Kabinet Datuk Seri dan memberikan ulasan secara bersemuka dengan bersaksikan semua Ketua Jabatan Agensi terbabit dibawah Kementerian, pada hari Rabu, 15 Oktober 2025.
Saya berharap, demi kepentingan awam dan menjaga integriti masing-masing, Datuk Seri hendaklah berani dan rela hati menerima cadangan saya ini. Saya berikan tempoh tiga (3) hari sehingga 12 Oktober 2025 untuk Datuk Seri menjawab tawaran saya ini.
Sekiranya Datuk Seri gagal berbuat demikian, saya akan menimbangkan langkah-langkah lain yang sesuai termasuk tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Terima kasih dan salam hormat.
(tandatangan)
ANNUAR MUSA – HARAKAHDAILY 10/10/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











