Projek RMM pertama di Dungun bernilai RM52.7 juta

Wan Sukairi membawa kenderaan pemadat jalan sebagai acara simbolik pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan RMM Balai Besar, Dungun
- Advertisement -

DUNGUN: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM52.7 juta bagi melaksanakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) pertama di Balai Besar, Dungun yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek tersebut dibangunkan di atas tanah seluas 15.311 hektar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan 182 unit rumah teres setingkat serta lapan unit kedai setingkat.

“Daripada jumlah itu, 128 unit melibatkan RMM Jenis A dan 54 unit RMM Jenis B dengan harga jualan bermula RM90,000 seunit bagi Jenis A serta RM185,000 seunit bagi Jenis B.

“RMM Jenis A ditawarkan kepada golongan berpendapatan isi rumah antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan, manakala Jenis B untuk mereka yang berpendapatan RM2,500 hingga RM7,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan RMM Balai Besar, Dungun mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadli Rahmi Zulkifli.

Wan Sukairi berkata, pembiayaan projek berkenaan dilaksanakan melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan bayaran balik tanpa faedah selama 30 tahun.

Menurut beliau, projek itu bukan sekadar menyediakan kediaman selesa, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat memiliki rumah yang berkualiti serta berkemampuan.

“Kita sedar rumah bukan sekadar tempat berteduh. Ia adalah tempat bermula segala kisah. Tempat lahirnya harapan, tempat yang dibajai impian dan tempat tumbuhnya generasi masa depan.

“Hari ini, dengan izin Allah kita akan menyaksikan satu lagi bukti nyata bahawa janji kerajaan negeri bukan sekadar di atas kertas. Majlis Pecah Tanah ini juga adalah lambang komitmen dan kesungguhan untuk terus memaju pembangunan negeri demi kesejahteraan semua lapisan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, permohonan bagi projek tersebut boleh dibuat secara dalam talian apabila kemajuan kerja mencapai 80 peratus dan rakyat diminta sentiasa peka dengan hebahan rasmi kerajaan.

“Oleh itu saya memohon agar rakyat sentiasa peka dengan iklan yang dikeluarkan supaya tidak terlepas peluang untuk memohon dan memilih sendiri projek perumahan mampu milik termasuklah RMM balai Besar ini.

“Bagi kami, kejayaan bukan sekadar diukur melalui bangunan pencakar langit ataupun mega projek tetapi kepada sejauh mana rakyat dapat menikmati hasil pembangunan secara adil dan juga saksama.

“Justu, kerajaan negeri amat komited dalam memastikan pembangunan ini dapat dilaksanakan secara mampan dengan mengambil kira faktor alam sekitar serta kemudahan infrastruktur sokongan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, kemudahan awam yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kontraktor supaya menjaga kualiti, mengutamakan keselamatan serta memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan menepati jadual yang telah ditetapkan.

“Pihak kontraktor telah diamanahkan untuk menjaga kualiti kerja, memastikan keselamatan bekerja serta menjalin hubungan yang baik dengan masyarakat sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

“Kerajaan negeri juga, insya-Allah akan sementiasa memantau prasarana ini bagi memastikan ia memberikan impak dan manfaat yang sewajarnya kepada semua penerima-penerima rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2025

- Advertisement -