
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia 12 bulan dan mencederakan lapan individu lain.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kehilangan itu amat menyayat hati dan seluruh negara turut bersedih bersama keluarga mangsa.
Beliau berkata, insiden terbabit sekali lagi menimbulkan persoalan besar berhubung tahap keselamatan di lebuh raya, khususnya di kawasan plaza tol yang sepatutnya direka bentuk dengan lebih selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Sebagai pembangkang yang konstruktif, PN menggesa agar kerajaan segera mengkaji semula aspek keselamatan lebuh raya dan plaza tol dengan mengambil kira kepentingan nyawa pengguna jalan raya sebagai keutamaan,” ujarnya dalam kenyataan.
Khairil Nizam yang juga ahli Pasukan Petugas Khas meneliti insiden kemalangan maut di Teluk Intan dan Gerik sebelum ini menjelaskan, dalam kedua-dua laporan tersebut pelbagai syor telah dikemukakan.
Ia jelasnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut, termasuk pelaksanaan ‘speed limiter’ pada kenderaan berat, penambahbaikan sistem penyelenggaraan, serta aspek penguatkuasaan lebih ketat.
“Jadi, Perikatan Nasional amat menggesa agar kerajaan segera melaksanakan syor-syor berkenaan tanpa berlengah, kerana kelewatan bermakna nyawa rakyat terus terdedah kepada risiko,” gesanya.
Menurutnya, PN sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan semua yang tercedera diberikan kesembuhan segera.
“Tragedi ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan tegas. Setiap nyawa adalah amanah, dan keselamatan rakyat mesti menjadi agenda utama negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2025











