Acara pelancongan Melaka abai waktu solat Maghrib?

- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Ahmad Bilal Rahudin membangkitkan persoalan berhubung penganjuran dua program besar pelancongan di negeri itu yang dijadualkan berlangsung ketika hampir masuk waktu solat Maghrib.

Beliau berkata, hujung minggu ini bakal berlangsung Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada Jumaat, 26 September dan Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) pada Sabtu, 27 September yang akan diadakan di Encore Melaka bermula sekitar 6.30 petang dengan kehadiran dif kehormat sehingga malam.

Menurutnya, masa pelaksanaan program tersebut hampir dengan waktu Maghrib yang di negeri ini bermula pada jam 7.07 malam, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tetamu dan pegawai daripada kalangan penduduk tempatan dapat menunaikan solat.

“Bagi tetamu atau petugas yang berstatus musafir mereka mungkin boleh jamak solat mereka, namun bagaimana dengan tetamu dan pegawai dari kalangan penduduk tempatan?

“Adakah mereka disediakan dengan kemudahan solat yang mencukupi? Jika ada pun, adakah mereka boleh mengambil masa untuk solat memandang program tersebut bersifat ‘hyper-formal’ dengan jadual atur cara yang ketat?” soalnya dalam kenyataan.

Ahmad Bilal berkata, walaupun program berkenaan bersifat antarabangsa, sewajarnya Malaysia atau Melaka sebagai tuan rumah mengambil cakna dengan memulakan program lebih lewat selepas waktu solat Maghrib atau memasukkan jadual solat Maghrib berjemaah.

“(Ia) Sebagai menunjukkan imej kita sebagai negara Islam kepada masyarakat luar yang hadir. PAS Negeri Melaka dengan ini menggesa agar kebimbangan-kebimbangan yang dinyatakan di sini berkaitan dengan ruang kepada tetamu atau pegawai beragama Islam menunaikan solat Maghrib diambil cakna dan diambil tindakan oleh penganjur,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -