PAS sedia terlibat sama Konvensyen Melayu Bandar

Bagi mengkaji secara mendalam implikasi RUU URA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menghargai keterbukaan Umno dalam mengumumkan penubuhan Pasukan Khas bagi meneliti dan memperhalusi Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah ini menunjukkan kesediaan untuk mengkaji secara mendalam implikasi undang-undang tersebut terhadap rakyat.

Sehubungan itu PAS katanya, menegaskan kesediaan untuk turut sama jika dijemput dalam apa jua perbincangan atau konvensyen yang dianjurkan, khususnya yang melibatkan parti-parti Melayu.

“PAS yakin bahawa melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu sahajalah kita dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat,” ujar beliau.

PAS ujarnya berpandangan, suara kolektif umat Melayu-Islam perlu diangkat secara serius dalam menggubal sebarang dasar atau undang-undang berkaitan pembangunan bandar.

“Agar ia tidak mengabaikan kepentingan rakyat bawahan, keadilan sosial serta keseimbangan pembangunan. Insya-Allah, PAS akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat bersama-sama.

“(Yakni) dengan mana-mana pihak yang ikhlas dalam agenda penyatuan ummah serta mempertahankan kesejahteraan negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki mengumumkan pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas Umno bagi penambahbaikan RUU URA.

Pasukan Khas itu ujarnya, bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU URA secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.

“Konvensyen Melayu Bandar ini bakal melibatkan kepimpinan tertinggi Umno daripada Negeri-Negeri dan Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia, parti-parti politik Melayu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

“(Juga) Ahli-ahli akademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan pada penghujung bulan September. Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -