
KUALA LUMPUR: Delegasi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah berlepas ke Jordan pada 14 Ogos lalu bagi mengadakan pertemuan dengan rakan strategik di negara itu untuk merancang pelaksanaan Misi Musim Sejuk Syria.
Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, misi berkenaan bertujuan membantu pelarian Syria yang bakal berdepan cuaca sejuk di kem-kem penempatan pada hujung tahun ini.
Katanya, delegasi itu turut disertai Timbalan Pengarah II PASRelief, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Setiausaha Kerja PASRelief, Ustaz Ahmad Rashdan Ikhsan serta Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad, selain beberapa petugas kemanusiaan lain.
“Ramai pelarian Syria kini sudah mula memasuki negara mereka untuk memulakan kehidupan baharu. Namun, mereka masih berdepan kesukaran besar, khususnya kekurangan kelengkapan dan perlindungan daripada cuaca sejuk yang bakal melanda.
“Insya-Allah, pada hujung tahun ini PASRelief akan melaksanakan Misi Musim Sejuk Syria untuk menyampaikan bantuan terus kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya dalam kenyataan.
PASRelief jelasnya, turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti menghulurkan bantuan kepada pelarian Syria.
“Setiap sumbangan anda adalah bukti solidariti dan kasih sayang sesama insan. Terima kasih kerana terus bersama kami dalam perjuangan kemanusiaan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2025











