
KOTA BHARU: Seorang peserta berusia 77 tahun, Nik A Rahman Nik Wan mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai penerima sijil tamat pengajian paling berusia dalam Majlis Penganugerahan Sijil Pengajian Tafaqquh Fiddin Sesi Ketiga yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.
Pengiktirafan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Kelantan, Mohd Asri Mat Daud dalam ucapannya.
Nik A Rahman yang ditemui selepas majlis menzahirkan hasrat untuk terus menyumbang dalam bidang dakwah selagi dikurniakan kesihatan dan kekuatan oleh Allah SWT.
“Selagi sihat, selagi Allah beri kekuatan, saya akan terus mengajar agama. Saya bimbang dengan anak-anak muda hari ini, mereka terlalu terdedah kepada pengaruh tidak sihat, terutama melalui media sosial dan teknologi,” katanya.
Menurut beliau, kemunculan pelbagai anasir luar menjadikan usaha dakwah hari ini lebih mencabar berbanding dahulu.
Katanya, meskipun masyarakat dahulu lebih mudah menerima dakwah, namun pendakwah hari ini memerlukan kemahiran dan pendekatan baharu agar mesej Islam dapat disampaikan dengan berkesan.
“Pendakwah kena sentiasa belajar, cari pendekatan baharu untuk tarik minat masyarakat. Itu tujuan saya terus mengajar, supaya dapat bantu masyarakat dari semua sudut,” ujarnya.
Nik A Rahman juga menjelaskan beliau memberi tumpuan dalam bidang akidah dan kini aktif mengajar di beberapa buah masjid termasuk Masjid Bertam Baru, Masjid Limau Kasturi dan Masjid Ecer sebanyak empat kali seminggu.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Murabbi, Ruhamaa Salleh turut melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan diterima yang menurutnya, anugerah itu bukan sekadar satu kebanggaan, bahkan satu amanah besar.
“Anugerah ini bukan satu kebanggaan, sebaliknya ia adalah cabaran, ujian dan tanggungjawab besar yang perlu saya pikul,” kata ibu kepada lima orang anak itu yang kini berkhidmat di Pondok Pasir Tumbuh sebagai Pembantu Pegawai Halaqat DUN Pasir Tumboh.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mula aktif mengajar sejak 2018.
Majlis anjuran Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Yayasan Amanah Tok Kenali dan Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia.
Program tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan negeri memperkasakan agenda dakwah melalui pendekatan pengajian tersusun dan berterusan dalam kalangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 5/8/2025












