Gerakan Islam dipalit naratif gelap Khawarij, anti budaya ilmu dan taksub!

- Advertisement -

BERLEGAR cuplikan video serta polemik baru di medsos berkaitan ulama haraki, ulama hakiki, isu kumpulan haraki yang tidak bertunjangkan ilmu malah dibuai dengan emosi. Pasti yang tersenyum ialah musuh Islam kerana yang saling menghambur dan menyulut api kebencian ini adalah sesama umat Islam. Seolah ada usaha tersusun untuk menjarakkan umat ini daripada perjuangan Islam serta mengintima’kan diri dengan harakah Islam. Kini usaha buat ala Profesor Dr Christian Snouck Hugronje lebih seratus tahun dahulu diberikan nafas baru oleh segelintir santri bahkan asatizah yang cuba meremehkan penggabungan dengan jamaah Islam.

Penggabungan dengan gerakan Islam dibimbangi merosakkan citra para ulama, maka cukuplah ulama dengan kenikmatan mengajar kitab thurath, berselawat, berzikir serta bertaqarub kepada Allah. Apa yang berlaku kini merupakan imbas kembali modus operandi Sang orientalis tersohor di nusantara, Snouck Hugronje untuk menjauhkan ummah daripada siasah Islam seperti yang beliau lakukan di Wilayah Acheh Darus Salam.

Menggila juga mutakhir ini menaufan tuduhan khawarij kepada pelbagai gerakan Islam dalam dunia moden adalah strategi untuk menjauhkan ummat Islam daripada menyokong dan mendukung perjuangan Islam. Implikasinya cukup fatal sehingga membawa kepada usaha bersepadu ahzab moden dan penguasa munafik Arab yang menggema HAMAS agar melucutkan senjata dan melepaskan pemerintahannya di Gaza. Sebelum ini dengan label khawarij sebagai lesen pembantaian sadis kepada Ikhwanul Muslimin di Syria pada tahun 1982, pembantaian kepada penyokong Dr Mohamed Mursi di Medan Rabaah pada Jun 2013, penyergapan zalim regim tirani di Iraq, Libya, Tunisia, Bangladesh dan lain-lain negara lain.

- Advertisement -

Naratif jahat ini berlangsung dalam negara kita sejak awal 90an, jentera kerajaan seperti BTN digunakan untuk melumur najis hitam kepada gerakan Islam seperti PAS sebagai Khawarij. Hujung bulan lepas, apabila diadakan himpunan Turun Anwar, maka antara peluru saraf pendukung kerajaan kepada para demonstran ialah ‘jangan jadi Khawarij’. Para cytro kerajaan madani ini termasuk pegawai keliling Anwar ini umpama burung tiong yang hanya tahu bersuara namun jahil kefahaman agama!

Sejarah Khawarij bermula di zaman khalifah keempat kerajaan Khulafa ar Rasyidin, Saidina Ali KWJ. Berlakunya Perang Siffin pada tahun 37 Hijrah diantara pasukan khalifah Islam dan pasukan tentera  Syria yang saat itu Muawiyyah menjadi Gabenor Syria.

Muawiyyah tidak mahu membaiah khalifah keempat, Saidina Ali dengan justifikasi agar disegerakan hukuman kepada pembunuh Saidina Uthman pada tahun 35 Hijrah. Justifikasi kerajaan khulafaar Rasyidin, kejadian pembunuhan itu melibatkan kelompok Sabaiah yang jumlahnya ramai. Perang meledak dan menumpahkan darah sesama muslim, gemerincingan pedang bersahutan takbir membesarkan Allah sesama pengungkap kalimah toyyibah!

Setelah perang banyak hari berlangsung dengan menggeletak kematian, di sebelah pasukan tentera Syria Muawiyyah, tenteranya menjulang mushaf al Quran pada hujung tombak dan pedang. Saidina Ali KWJ mengarahkan tenteranya meletakkan senjata, berdamai atau gencatan senjata. Sebahagian tentera Saidina Ali tidak mahu berdamai kerana mereaksinya sebagai kid’ah (strategi).

Mereka keluar daripada mentaati kepimpinan Saidina Ali dan seterusnya menentang Saidina Ali, kelompok Khawarij atau khariji ini dihadapi oleh Saidina Ali dengan diskusi ilmu. Abdullah Bin Abbas, tokoh al Quran yang juga ahli keluarga Nabi SAW berdepan dengan hujjah dengan kelompok pelampau ini.

Khawarij mengkafirkan Saidina Ali dan juga mengkafirkan Muawiyyah Bin Abu Suffian, slogan mereka ‘La hukmu illa Lillah’. Perdebatan ilmu dengan Ibnu Abbas telah menyedarkan kesilapan mereka menentang Saidina Ali. Sebahagian telah bertaubat dan kembali menyokong Saidina Ali KWJ manakala sebahagian terus bertekad melawan Saidina Ali.

Sikap kasar dan keras kepala kelompok ini telah menyebabkan berlakunya Perang Nahrawan pada tahun 38 Hijrah. Mereka tewas dan ramai pimpinan utama  khawarij telah terbunuh. Api dendam dan kebencian menyulut api permusuhan sehinggalah membawa kepada pembunuhan Saidina Ali dalam bulan Ramadhan tahun 40 Hijrah di Kufah oleh Abdul Rahman Bin Muljam.

Ironinya, di zaman milineal yang lumayan dengan fitnah ini, gerakan Islam di pelbagai belahan dunia Islam dituduh secara pukal sebagai puak Khawarij yang berlawanan dengan akidah Islam. Tanpa menafikan adanya khutlah neo Khawarij di beberapa tempat dalam dunia ini sehingga membawa pertumpahan darah sesama Islam akibat onar kelompok neo Khawarij seperti Daesh Khurasan dan lain-lain lagi.

Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, PAS, an Nahdhoh dan lain-lain gerakan Islam kontemporari bukanlah bertunjang nuansa kelompok Khawarij. Gerakan Islam memperjuangkan penegakan Syariat Islam, menentang kemungkaran penguasa, mengajak manusia hidup dalam wewenang Syariah dan cara hidup Islam yang syumul.

Pembenci gerakan Islam hari ini  bukan sekadar berselimut dengan kejahilan sejarah tetapi seumpama burung Tiung yang hanya pandai mengulang bicara musuh Islam. Musuh Islam melagakan kita dengan isu mazhab dan manhaj, ilmuan Islam yang jahil geopolitik menambah garam pada luka ummat dengan seruan meremehkan usaha gerakan Islam. Tiada pengasingan antara ulama haraki dan ulama hakiki yang mencurahkan ilmu kerana semuanya saling melengkapi. Tanpa kekuasaanlah, maka kita hanya mampu menyaksikan pembantaian di Gaza, juga bersemaraknya kemaksiatan serta kemungkaran di negara umat Islam.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 5/8/2025

- Advertisement -