
ISU MENGENAI ulama haraki dan ulama sebenar tidak perlu timbul. Langsung tiada kekeliruan. Saya yang bukan ulama pun tidak keliru.
Gerakan Islam menggunakan pelbagai wadah. Ada dakwah dan islah. Ada politik.
Pendukung Gerakan Islam terdiri daripada pelbagai golongan – ulama, profesional, bukan profesional, rakyat biasa.
Ulama (yang menguasai ilmu turath) yang terlibat dengan gerakan Islam tetap dipanggil ulama. Kalau gerakan itu berpolitik, dia tetap ulama. Tidak timbul isu dia bertukar menjadi ulama haraki pula.
Profesional atau bukan ulama yang terlibat dengan gerakan Islam tetap dipanggil profesional dan bukan ulama. Saya tetap peguam walaupun masuk PAS. Kalaupun ada yang mahu memanggil ustaz (tidak ada), itu hanya gelar-gelaran. Saya tentunya bukan ulama.
Penglibatan saya dalam gerakan Islam (baca PAS) tidak menjadikan saya ulama haraki walaupun saya mampu khatam semua buku usrah, dan buku mengenai harakah Islamiyyah dan siyasah. Saya tetap peguam.
Justeru apa isunya? Tiada isu. Tiada keliru.
Kalau ulama yang tidak mahu terlibat dengan gerakan Islam, itu pendirian dan keputusan mereka. Mereka berperanan berbeza – mengembangkan ilmu, dakwah, nasihat dan sebagainya.
Dalam negara demokrasi, semua orang mengundi. Ulama yang tidak terlibat dalam gerakan Islam juga mengundi. Jadi mereka juga terlibat dalam ‘politik’ secara tidak langsung walaupun tidak menjadi ahli gerakan Islam. Mereka juga memilih pentadbir.
1Yang tak betulnya adalah, mengundi pun tidak. Macam mana mahu tegakkan Islam dalam negara demokrasi tanpa apa-apa kuasa?
Untuk mentadbir negara demokrasi, cukupkah menjadi seorang ulama? Tidak cukup. Sebab itu kena ada gerakan Islam. Dalam gerakan Islam ada disiplin dan kemahiran di ajar. Ada juga gabungan dengan profesional. Namun ulama tahu mengemudi pentadbiran ke arah Islam. Itu yang paling penting.
Usrah? Betul, ia bukan kuliyyah ilmu seperti universiti. Tidak perlu begitupun. Usrah adalah silibus haraki untuk membina disiplin haraki. Itu sahaja.
Dalam PAS, silibus usrah tersusun ikut peringkat dan tajuk. Ada siyasah, aqidah, quran, sunnah. Ada peringkat beginner, ada advance. Sesuai dengan kelompok ahli yang pelbagai.
Saya masuk PAS bukan untuk belajar turath. Kalau mahu belajar Turath dan jadi Ulama’, saya pergi universiti atau tadah kitab di pondok. Saya masuk PAS untuk menyumbang kepada gerakan Islam. Mahu belajar disiplin gerakan Islam. Mahu jadi mata rantai. Itu sahaja.
Sebab itu saya tidak pakai kopiah PAS pergi mesyuarat.
Itulah pemahaman saya. Anda boleh tidak bersetuju.
Wallahu’alam
YUSFARIZAL YUSSOFF
Peguam haraki – HARAKAHDAILY 5/8/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











