Kelewatan tanam semula sawit beri kesan eksport

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) meminta kerajaan menjelaskan sama ada wujud kajian atau data semasa yang menunjukkan kesan langsung kelewatan pelaksanaan program tanam semula terhadap sektor perladangan negara.

“Adakah terdapat sebarang kajian atau data semasa yang menunjukkan impak langsung kelewatan tanam semula terhadap aktiviti dan produktiviti nasional serta eksport sawit negara?

“Ini penting demi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport utama dunia,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapannya berkata, Malaysia sebagai pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia perlu menitikberatkan program penanaman semula bagi memastikan produktiviti dan eksport kekal mampan.

Menurutnya, syarikat besar seperti Sime Darby, United Plantations dan KLK berjaya mengekalkan hasil tinggi kerana kemampuan kewangan mereka untuk menanam semula pokok tua.

Beliau berkata, jika penanaman semula tidak dilakukan mengikut jangka hayat pokok, hasil boleh merosot daripada sekitar 25 tan sehektar kepada hanya empat atau lima tan.

Jamaludin dalam soalan asalnya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah faktor utama yang menyebabkan kadar tanam semula sawit hanya mencapai 2.0 peratus pada tahun 2024, jauh lebih rendah daripada sasaran industri 4-5 peratus setahun.

Tambahnya, apakah langkah segera diambil Kementerian untuk meningkatkan kadar tanam semula kepada sekurang-kurangnya 4 peratus setahun menjelang tahun 2026. – HARAKAHDAILY 5/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -