
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mempersoalkan tindakan lanjut yang diambil terhadap enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kerana dikaitkan dengan rasuah, namun masih belum didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, meskipun dua ADUN telah dihadapkan ke mahkamah, enam lain yang turut disebut dalam kes sama masih tidak dikenakan tindakan walaupun maklumat dan bukti terhadap mereka didakwa diperoleh daripada sumber sama.
“Dua yang didakwa tidak memegang sebarang jawatan dalam parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala enam lagi adalah pemegang jawatan tertinggi dalam parti, termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden, Bendahari Agung serta seorang Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Kesemua mereka didakwa menerima wang antara RM300,000 hingga RM500,000 dengan bukti video yang sama dirakam oleh pemberi maklumat. Jadi persoalannya, mengapa hanya dua yang didakwa? Apa tindakan terhadap enam yang lain?” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ronald berkata, beliau tidak menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan pendakwaan secara terpilih, namun penjelasan yang konkrit dan menyeluruh perlu diberikan kepada rakyat.
“Saya tidak mahu menuduh SPRM membuat pendakwaan terpilih tetapi penjelasan yang konkrit dan tuntas perlu diberikan,” katanya yang juga Naib Presiden BERSATU.
Terdahulu, beliau menyambut baik komitmen kerajaan untuk memperkasa agensi penguat kuasa seperti SPRM dan Jabatan Audit Negara dalam usaha memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa sebagaimana digariskan dalam dokumen RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 5/8/2025











