Coretan di suatu senja 26 Julai 2025

- Advertisement -

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Coretan rasa hati ini dinukil di suatu senja selepas perhimpunan 500,000 rakyat di Dataran Merdeka, yang meminta hak mereka sebagai rakyat Malaysia ditunaikan oleh pimpinan Kerajaan ‘Perpaduan’ yang sedia ada sekarang. 500,000 rakyat Malaysia ini juga menuntut supaya mereka tidak dizalimi di kala pelbagai subsidi ditarik, pelbagai tarif dinaikkan dan cukai SST yang diperkenalkan.

Saya sebagai aktivis kesihatan di dalam PAS juga tidak terkecuali di dalam gelombang kebimbangan 500,000 rakyat Malaysia yang berhimpun ini. Alang-alang berhimpun, saya juga bertugas sebagai petugas kesihatan ‘standby’ bersama-sama pasukan Briged Muslimat PAS dan semut merah PAS yang tidak perlu diperkenalkan lagi, unit Amal.

Pagi itu saya bersama-sama berkumpul dengan pasukan Briged Muslimat PAS dan unit Amal untuk mendengar taklimat Pengarah Operasi Unit Amal, Ustaz S. Dari wajah Ustaz S, selaku Pengarah Operasi, saya dapat lihat beliau sangat tenang walaupun beliau tahu himpunan ini adalah antara himpunan terbesar di Dataran Merdeka selepas himpunan ICERD tempoh hari. Dari wajah tenang itu, arahan jelas dikeluarkan termasuk arahan untuk tidak mewujudkan provokasi dengan mana-mana pihak di dalam himpunan. Sami’na Waa’to’na – Kami dengar dan kami patuh. Begitulah tarbiyah atau didikan di dalam PAS yang diajar kepada setiap ahli untuk patuh pada pimpinan dan mengelakkan apa-apa provokasi.

Usai taklimat, Ustaz S menuturkan doa untuk keselamatan semua petugas dan peserta himpunan seterusnya memohon pada Allah yang Maha Esa semoga himpunan ini aman dan selamat sehingga berakhirnya himpunan. Akhir kalam doa, takbir yang bersemangat dilaungkan bersama-sama oleh semua petugas sebelum kami meneruskan tugasan di Dataran Merdeka dan lain-lain check point.

Saya dan beberapa Briged Muslimat mempersiapkan diri dan peralatan perubatan yang perlu dibawa. Setelah menjamah sedikit alas perut pagi itu, enjin motor terus dihidupkan dan kami meluncur di kota raya Kuala Lumpur dengan kenderaan dua roda untuk persiapan dan ‘survey’ terakhir sebelum himpunan bermula.

Seawal 9 pagi, Dataran Merdeka mula dipenuhi oleh peserta himpunan. Pentas sudah tersergam indah. Kerusi cantik disusun atur. Menarik perhatian ramai pelancong dan ada yang mengambil gambar di pentas bersama backdrop tertulis ‘TURUN ANWAR’.  Mereka kelihatan amat gembira tetapi saya gusar apakah para pelancong ini faham apa yang tertulis di backdrop pentas tersebut. Saya tersenyum sendirian.

Selain tinjauan lokasi pentas dan ambulan, saya juga membuat tinjauan ‘workflow’ kecemasan sekiranya apa-apa kecemasan perubatan berlaku, Nauzubillah. Ambulan hanya dibenarkan berada di sebelah hujung padang dan semua petugas kesihatan mengambil maklum tentang maklumat terkini lokasi ambulan.

Sedang saya membuat tinjauan, seorang lelaki Melayu, berbaju hitam berbag silang, di umur 30-an mendekati saya, meluahkan ketidakpuasan hati beliau terhadap apa yang berlaku di Malaysia mengenai kebebasan bersuara. Saya bertanya siapakah beliau dan apakah tujuan beliau meluahkan semua ini kepada saya. Pemuda 30-an berkata beliau adalah aktivis mahasiswa yang akan turut serta petang nanti dan beliau akan bergerak daripada Pasar Seni. Sebelum beliau berlalu pergi, sempat saya berpesan semoga segalanya selamat untuk semua mahasiswa dan kumpulan daripada Pasar Seni nanti.

Sedang Briged Muslimat PAS membuat tinjauan dan membuat roll call mereka, unit Amal diberitahu untuk menurunkan pentas yang telah siap didirikan. Amat mengejutkan dan menyedihkan. Tangan ajaib atau arahan atasan manakah yang mengeluarkan arahan tersebut? Unit Amal tidak melatah, tenang membaca zikir beramai-ramai dan membaca doa sambil membuat rundingan. Semangat tidak patah walaupun terpaksa akur dengan arahan ‘suara ajaib’ tersebut. Pentas diubah suai di atas Hilux. Pantang undur sebelum ajal, semut merah PAS unit Amal berikrar. 

Saya dan Briged Muslimat bergerak ke destinasi lain untuk persiapan keselamatan pimpinan dan perlu ke Masjid Jamek semula untuk solat berjemaah Zohor. Dari destinasi kami yang terakhir, kami bersiap sedia mengambil wudhu dan tidak lupa mengungkapkan doa untuk keselamatan pimpinan, peserta dan petugas.

Dengan lafaz ‘Bismillah,’ kami mula berjalan daripada Masjid Jamek ke Dataran Merdeka. Lautan manusia berbaju hitam dari hujung kiri dan kanan Dataran Merdeka dapat dilihat tapi tidak nampak ekor pengakhirannya. Barisan berbaju hitam tidak berhenti bergerak ke arah Dataran Merdeka dari segenap arah.


Tepat jam 2 petang, ucapan para speaker dimulakan. Bahang panas matahari mula terasa. Saya sebenarnya memang tak tahan panas dan mudah pening jika beradandi dalam ‘crowd’ yang besar dan cuaca panas. Saya berdoa semoga hujan turun untuk menyejukkan sedikit suasana. Awan berarak, hujan mula turun! Para speaker bertukar ganti. Beberapa pesakit juga dirawat sepanjang himpunan. Ada juga yang dihantar dan dirujuk ke hospital.

Tiba masa bacaan doa oleh Ustaz Zulkifli Ismail, hujan turun makin lebat, seolah-olah faham isi hati tangisan kesatuan munajat 500,000 rakyat Malaysia petang itu. Hati saya terusik sambil meng‘amin’kan bacaan doa. Selepas bacaan doa, Dataran Merdeka digegarkan dengan suara rakyat Malaysia dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Sebelum bersurai, semua peserta himpunan, Briged Muslimat, semut merah unit Amal mula mengambil posisi masing-masing untuk mengawal ‘crowd’.dan mula mengutip sampah. Pujian dan kredit harus diberikan kepada semua peserta himpunan, Briged Muslimat, unit Amal, agensi-agensi Kerajaan kerana tiada provokasi dan keganasan yang berlaku sepanjang himpunan aman ini.

Alhamdulillah, himpunan berakhir dengan aman dan tertib. Saya dan Briged Muslimat baru teringat yang kami tidak makan semenjak pagi tadi dan baru terasa lapar. Kami terus berbonceng ke Kampung Bharu untuk mengisi perut yang berkeroncong ini. Usai makan, salah seorang pelanggan di gerai tersebut belanja kami semua. ‘Ambil ya, saya belanja. Penat dah kerja tadi,’ kata beliau. Allahu akbar… ukhuwah yang tak dapat dihuraikan dengan kata-kata. Terima kasih ‘brother’ belanja kami. Lain himpunan jumpa lagi.

Pada saya, himpunan 500,000 peserta pada 26 Julai 2025 adalah sejarah himpunan aman suara hati rakyat Malaysia di Dataran Merdeka. Ia juga memberi pengalaman yang tak mungkin saya lupakan dan menjadi memori manis untuk sepanjang hidup.

Semoga suara, doa, munajat rakyat Malaysia dimakbulkan dan semoga kezaliman dan rasuah dapat dilenyapkan dan dibanteras.

Takbir, Allahu Akbar!

- Advertisement -

Dr WADZ
Aktivis Kesihatan PAS, – HARAKAHDAILY 29/7/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -