SKP mesti elak jadi ‘rubber stamp’, perlu autonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 dilihat sebagai langkah positif, namun menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kebebasan dan ketelusan tadbir urusnya.

- Advertisement -

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa) berkata, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah SKP yang dilakukan oleh Menteri Kewangan menimbulkan persoalan sejauh mana SKP benar-benar bebas daripada campur tangan politik dan pengaruh industri.

“Kita mahu SKP bertindak tegas melindungi pengguna, bukan sekadar menjadi ‘rubber stamp’ kepada kehendak kerajaan ataupun pemain industri,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk, pengalaman antarabangsa seperti di United Kingdom menyaksikan badan kawal selia seperti Financial Conduct Authority (FCA) beroperasi dengan autonomi tinggi dan hanya bertanggungjawab kepada Parlimen, bukannya kepada menteri semata-mata.

Katanya, beberapa agensi penguatkuasaan kewangan di Malaysia sebelum ini turut dikritik kerana kurang telus dan tidak proaktif, menyebabkan isu seperti pinjaman tidak berlesen atau along masih gagal ditangani secara menyeluruh.

Ahmad Marzuk turut membangkitkan isu struktur pelaksanaan berfasa dan kawal selia berbilang agensi yang termaktub dalam fasa 34 RUU, di mana menurutnya boleh menimbulkan kekeliruan serta pertindihan bidang kuasa.

RUU tersebut menyatakan bahawa kuasa SKP adalah tambahan kepada kuasa-kuasa sedia ada di bawah pelbagai agensi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan proses penyelarasan agar pertindihan ini dapat diminimumkan,” katanya, sambil menyarankan agar tempoh peralihan dipantau rapi dan sekiranya boleh, dipendekkan.

SKP katanya lagi, perlu mengeluarkan garis panduan interim secara seragam bersama agensi lain bagi memastikan semua pemberi kredit lama mahupun baharu mematuhi prinsip perlindungan pengguna yang konsisten.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap amalan ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL), yang dilihat mudah memerangkap pengguna ke dalam hutang tersirat.

“BNPL ini digambarkan tanpa faedah, tetapi dalam kejahilan atau kekurangan maklumat, pengguna terjebak dengan terma yang memudaratkan,” jelasnya.

Mengambil contoh di Australia dan UK, beliau berkata amalan membuka akaun BNPL secara berganda telah mencetuskan krisis hutang dalam kalangan golongan muda, termasuk dengan had pinjaman mencecah ribuan ringgit atau Euro.

“Saya berharap dengan adanya RUU ini, kita benar-benar mencapai hasrat kerajaan untuk melindungi pengguna secara berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -