BNPL perlu diselia ketat demi lindungi rakyat

Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna perlu dirangka dengan tegas dan berpihak kepada rakyat,

- Advertisement -

Khususnya kata beliau, dalam menangani isu pembiayaan Buy Now Pay Later (BNPL) semakin membarah dalam masyarakat di mana fenomenanya menjadi ‘perangkap hutang senyap’ yang menjerat.

Terutamanya kata Pengerusi Wanita Perikatan Nasional (PN) itu, terhadap golongan wanita dan anak muda, berikutan iklan agresif dan tawaran kewangan yang mengelirukan.

“Sebagai seorang wanita dan ibu kepada anak muda yang membesar dalam era digital, saya amat bimbang melihat betapa mudahnya generasi hari ini terperangkap dalam budaya hutang senyap.

“Mereka mencipta hutang seawal usia dua puluhan tanpa memahami risiko jangka panjang,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan statistik membimbangkan yang menunjukkan lebih 5.1 juta rakyat Malaysia berumur antara 21 hingga 45 tahun dan berpendapatan di bawah RM5,000 menggunakan BNPL.

Iaitu katanya, dengan jumlah transaksi mencecah RM12 bilion keseluruhan merangkumi RM4.1 bilion pada Januari hingga Jun dan RM7.1 bilion pada Julai hingga Disember sepanjang tahun 2024.

Mas Ermieyati juga mempersoalkan sama ada suruhanjaya yang ditubuhkan menerusi RUU ini benar-benar diberi kuasa perundangan untuk mewajibkan penetapan had kredit.

Gesa beliau, ia mesti berdasarkan kemampuan kewangan pengguna kerana jika tidak, rang undang-undang ini berisiko menjadi kosmetik semata-mata.

“Tanpa indikator pengukuran kemampuan pengguna yang menjadi mandatori dan juga bebas kos kepada sistem ini, boleh merubah menjadi perangkap hutang baru pada masa kini.

“Hutang BPNL telah pun mencecah RM2.8 bilion iaitu menyumbang kepada 0.2 peratus hutang isi rumah,” ujar beliau.

Sebagai perbandingan katanya, negara seperti United Kingdom dan Australia telah mengambil langkah lebih tegas, termasuk menghadkan atau mengharamkan penalti lewat bayar dalam sistem BNPL.

“Di United Kingdom, pemberi kredit BPNL ini tertakluk kepada penilaian kemampuan pengguna oleh Financial Conduct Authority (FCA) dan proses ini wajib sebelum menjadi transaksi melepasi had tertentu.

“Di Australia pula pengubal undang-undang kini sedang mengubal peraturan BNPL setara dengan pinjaman peribadi termasuklah sekatan ketat terhadap promosi dan juga pengiklanan,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, beliau turut membangkitkan isu struktur yuran dan penalti longgar, khususnya dalam Fasal 1, 2 dan 3 yang memberi terlalu banyak ruang kepada pemberi kredit untuk menetapkan garis panduan mereka sendiri termasuk faedah penalti dan yuran.

“Beberapa negara seperti Australia dan juga Sweden telah pun mengharamkan dan ataupun menghadkan penalti lewat bayar
dalam BNPL ini secara mutlak.

“Sebagai contoh di Sweden kerajaan menghadkan penalti kepada kadar tetap maksimum bagi menghadkan peminjam miskin dikenakan caj berlebihan.

“Di Australia pula ‘Afterpay’ dan juga ‘Zip’ dua gergasi BNPL ini, telah dilarang mengenakan penalti lewat bayar melebihi jumlah asal hutang.

“Jadi perlu ada semakan daripada pihak Suruhanjaya bagi menetapkan siling penalti dan juga faedah bagi memastikan ini tidak membebankan pengguna ataupun mendorong amalan pemangsaan kewangan.” tegas beliau.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan beberapa masalah yang dilaporkan oleh pengguna berkaitan Fasal 1, 2 dan 3 tersebut.

Beliau turut menggesa agar RUU ini memperkukuh piawaian pemasaran etika, termasuk pengawalan iklan yang agresif serta penetapan notis pembayaran lebih adil dan jelas berikutan wujud aduan tidak ditangani.

“Jadi saya mendesak agar notis pembayaran yang adil diwajibkan termasuklah had minimum bilangan hari sebelum pengutipan dilakukan dengan notifikasi yang lebih jelas,” gesanya.

Mas Ermieyati mencadangkan agar semua pemberi kredit berlesen diwajibkan memaparkan lesen mereka secara terang di laman web dan aplikasi, selain mewujudkan talian aduan khas 24 jam bagi aduan penipuan dan salah laku BNPL.

“Amat penting sekali RUU ini untuk kita laksanakan dengan tegas dan berpihak kepada rakyat, ia hanya akan menjadi satu lagi instrumen kapitalisme yang menekan rakyat atas nama kemudahan kewangan,” tegas beliau.

RUU Kredit Pengguna 2025 kini sedang dibahaskan di Parlimen sebagai usaha kerajaan untuk menyelia dan mengawal selia sektor kredit bukan berlesen dan kewangan alternatif termasuk BNPL yang semakin popular di negara ini. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -