Tragedi Sg Korok: Pancang amaran siap dipasang

- Advertisement -

JERLUN: Pancang tanda amaran telah mula dipasang di lokasi tragedi enam sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Sungai Korok, Kampung Kemboja, pagi tadi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, pemasangan awal dilakukan pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, khususnya di bahagian tepi sungai.

“Langkah ini diambil sebagai usaha segera bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya, khususnya yang melalui kawasan berisiko berhampiran sungai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, pemasangan pancang itu merupakan sebahagian daripada cadangan penambahbaikan jalan yang kini sedang diperhalusi pihak berkuasa, bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

Semalam pihaknya bersama pasukan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) turun padang bagi meninjau keadaan fizikal jalan di lokasi tragedi serta kawasan sekitar.

“Hasil pemerhatian mendapati keperluan untuk menambah baik infrastruktur dan aspek keselamatan amat mendesak, terutama di kawasan berisiko tinggi seperti ini.

“Insya-Allah kita akan terus menambah baik kemudahan ini dari semasa ke semasa, bergantung kepada kelulusan bajet yang diterima,” katanya lagi.

Terdahulu, negara digemparkan dengan tragedi menyayat hati apabila enam sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai dalam kejadian di Kampung Kemboja, Sungai Korok, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -