Institusi kehakiman: Keyakinan rakyat perlu dipelihara

Dr Najihahtussalehah Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap beberapa isyarat yang menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat mengenai kebebasan dan ketelusan institusi kehakiman negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, kepercayaan terhadap badan kehakiman merupakan teras dalam memastikan prinsip keadilan, demokrasi, dan pemerintahan berintegriti sentiasa terpelihara.

“Kami berpandangan bahawa kerajaan Madani perlu segera tampil memperkukuh keyakinan rakyat dan menolak sebarang bentuk campur tangan politik dalam keputusan atau pelantikan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan.

“Budaya menghormati separation of powers (pengasingan kuasa) antara eksekutif, legislatif dan kehakiman wajib dipelihara sebagai tanda kematangan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Perak itu turut menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan tiada sebarang campur tangan yang boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.

Menurut beliau, reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan ke atas sistem kehakiman negara termasuk memperkukuhkan peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) agar benar-benar bebas dan berfungsi secara telus.

“Sebarang isu yang menjejaskan kredibiliti badan kehakiman perlu dikendalikan secara telus dan terbuka kepada rakyat,” katanya.

Kemelut berkaitan sistem perundangan negara menjadi topik perbualan hangat kebelakangan ini susulan dakwaan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara dan campur tangan dalam institusi kehakiman. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -