
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu sedar bahawa beliau sudah tidak layak dan semakin tidak relevan lagi untuk menjadi Perdana Menteri bagi penggal kedua bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada Pakatan Harapan (PH) sekalipun.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata demikian sebagai mengulas kajian terkini oleh Merdeka Center yang melaporkan bahawa pemimpin itu mendapat peningkatan sokongan pengundi kepada 55 peratus.
Tegasnya, tidak timbul beliau hendak menolak dapatan kajian oleh badan penyelidikan itu, tetapi pasti bahawa metodologi dan kaedah tinjauan dilakukan ada limitasi dan kekurangan yang boleh diperdebatkan.
“Cuma saya ambil dimensi bahawa Anwar sudah tidak layak dan semakin tidak relevan dalam konteks politik Malaysia termasuk kepada PH sendiri pun. Apatah lagi kepada anak muda.
“Netizen saya kira sudah tidak segan silu menyatakan bantahan, kritikan dan
cemuhan kepada Perdana Menteri. Cukup dengan netizen respon, rakyat yang semakin terhimpit dengan masalah ekonomi dan janji-janji yang tidak ditunaikan.
“Termasuk suara-suara daripada golongan liberal NGO-NGO dan tokoh-tokoh ‘civil society’ yang juga secara terang-terangan mempertikaikan Anwar untuk melaksanakan janji reformasi,” ujarnya.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu turut memberi contoh kes Muhammed Yusoff Rawther yang dipertikaikan oleh bukan sahaja rakyat, tetapi juga oleh para penyokong PH sendiri termasuk janji-janji reformasi seperti kebebasan media.
Antara lain juga hujahnya, ketidakpuasan hati banyak pihak juga ke atas janji-janji reformasi institusi yang dilaungkan selama ini, selain kelemahan ekonomi, termasuk sikap ditunjukkan bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli.
Katanya, Rafizi selaku orang lama dan kanan kepada Perdana Menteri di dalam parti iaitu selaku Timbalan Presiden PKR sebelum pemilihan baru-baru ini, telah bertindak mencalarkan dan mempertikaikan kepimpinan dan kewibawaan Anwar.
Jelas beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, semua itu lebih munasabah dan realiti semakin dilihat ketara untuk ditimbang berbanding dapatan kajian tersebut. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











