Pusat onkologi swasta pertama di Pantai Timur

Bakal dibina di Kuantan

Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan), anak syarikat milik penuh TDM Berhad, bakal membina sebuah Pusat Onkologi lengkap pertama seumpamanya dalam kalangan hospital swasta di Pantai Timur, dijangka siap pada suku ketiga tahun 2027.

- Advertisement -

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pusat berkenaan akan menjadi pemangkin penting dalam penyediaan rawatan kanser berkualiti tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit kepada hospital kerajaan.

“Sekarang ini, KMI Kuantan bukan sahaja menerima pesakit dari Pahang, malah dari Terengganu, termasuk Dungun hingga Kemaman. Ramai pesakit dari kawasan ini mendapatkan rawatan di KMI Kuantan.

“Dengan adanya pusat onkologi ini, kita akan menjadi hospital swasta menawarkan rawatan kanser pertama di Pantai Timur. Buat masa ini, pesakit onkologi dari kawasan Pantai Timur biasanya dirujuk ke USM di Kubang Kerian.

“Kerana hospital kerajaan seperti Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Sultanah Zaharah (HOSZA) masih belum mempunyai pusat rawatan khusus seperti ini.

“Kita berharap dengan kewujudan pusat onkologi di Kuantan kelak, ia akan menjadi pilihan utama bagi mereka yang memerlukan rawatan khusus, terutamanya pesakit yang memilih hospital swasta dan memiliki perlindungan insurans, boleh datang ke hospital kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-60, TDM Berhad, di sini hari ini.

Menurut beliau, pembinaan pusat rawatan onkologi berkenaan membabitkan peruntukan kira-kira RM70 juta dan akan dilengkapi kemudahan rawatan menyeluruh termasuk kemoterapi, radioterapi dan perubatan nuklear.

“Ketika ini, perkhidmatan kemoterapi sudah pun bermula di KMI Kuantan dengan kehadiran pakar onkologi, Dr Hadi Ab Jalil.

“Namun, pembangunan pusat ini akan menambah baik fasiliti sedia ada termasuk memasukkan rawatan radioterapi yang memerlukan peralatan khas berasaskan bahan radioaktif,” katanya.

Tambah beliau, selain di Kuantan, TDM Berhad juga sedang merancang membangunkan satu lagi pusat onkologi pada masa hadapan di KMI Kuala Terengganu.

“Kita belum umumkan lagi secara rasmi, tetapi memang dalam perancangan jangka panjang untuk membina satu lagi pusat onkologi di sini (Kuala Terengganu),” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025

- Advertisement -