‘Kota Madani’: Henti penjenamaan bersifat narsisistik!

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar menghentikan amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama bagi inisiatif atau projek kerajaan, termasuklah Projek ‘Kota Madani’ di Putrajaya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penggunaan slogan seperti itu merupakan satu penjenamaan ‘narsisistik’ dan akan menyebabkan pembaziran wang rakyat apabila berlaku perubahan kerajaan.

“Sebelum ini kita melihat pelbagai inisiatif dijenamakan dengan slogan kerajaan semasa. Berapa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan itu juga diubah?” soalnya dalam satu hantaran di lama Facebook.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya penjenamaan yang bersifat lestari dan tidak terikat kepada mana-mana pentadbiran digunakan, bagi memastikan kesinambungan projek kerajaan tanpa pembaziran.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU itu turut mengingatkan supaya pemimpin, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak bersikap narsis atau mempunyai sifat narsisistik dalam urusan pentadbiran negara.

“Wang kerajaan bukan milik individu pemimpin. Ia milik rakyat, termasuklah yang tidak menyokong pemimpin itu. Maka apabila wang rakyat dibelanjakan, ia mesti mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik.

“Saya tahu kerajaan akan guna skrip biasa mereka iaitu ‘perkara tu kerajaan dulu pun dah buat’. Sebagai jawapan awal, saya mahu katakan bahawa apa guna jadi pemimpin jika perkara salah amalan terdahulu mahu diteruskan?” persoalnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan konsep pembangunan Kota Madani telah dibentangkan kepada Perdana Menteri.

Ia dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan, infrastruktur digital cekap, serta sistem mobiliti hijau dan dikatakan menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

Fasa pertama membabitkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -