Akibat kita lantik Pak Pandir sebagai pemimpin negara

’Isu penjualan aset PETRONAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan yang dikata akan menjual aset negara, termasuk melibatkan syarikat berkaitan PETRONAS.

- Advertisement -

“PERKASA sangat kecewa dan ianya terus menjadi bukti segala dakwaan saya setiap kali berceramah bahawa pemimpin lama buat harta, pemimpin sekarang jual harta,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, pemimpin sekarang bukan sahaja tidak bijak membangunkan syarikat baharu untuk menerima perniagaan baharu dan berjaya, malah syarikat yang sedia ada dan wujud sekian lama menjana ekonomi negara dijual satu persatu.

“Pastinya akan ada orang tengah yang menjadi ejen jualkan aset PETRONAS itu dan dapat keuntungan komisen tidak sedikit. Ramailah yang akan dapat habuan.

“Syarikat PETRONAS itu akan lepas kepada pihak asing. Wang hasil jualan akan dibuat bayar hutang negara. Syarikat hilang, duit habis. Inilah kalau kita lantik pak pandir jadi pemimpin negara,” katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa PETRONAS sedang mempertimbangkan untuk menjual perniagaan gas syalnya di Kanada yang dianggarkan bernilai antara AS$6 bilion hingga AS$7 bilion (sekitar RM27.6 bilion hingga RM32.2 bilion).

Penilaian sedang dijalankan dengan bantuan penasihat kewangan, termasuk kemungkinan melepaskan pegangan minoriti jika sesuai dengan nilai pasaran.

Syarikat itu dikatakan telah menerima minat awal daripada pembeli, namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -