Himpunan Melayu Berdaulat tiada unsur 3R – NGO

Masridzi Sat
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat menyifatkan Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung pada 24 Mei lalu di hadapan Sogo sebagai satu kejayaan besar meskipun berdepan pelbagai kritikan.

- Advertisement -

Masridzi berkata, himpunan itu bukan sahaja berjalan secara aman dan tertib, malah turut dipuji oleh pihak keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pematuhan undang-undang serta suasana yang terkawal.

“Himpunan yang mengikut undang-undang, tenang, selamat, aman, tak ada terbalik kereta atau berguling-guling. Tidak ada jenis-jenis yang buat provokasi dan sebagainya dan jalan raya pula tak ditutup. Kebanyakan kalau orang berhimpun biasanya jalan akan ditutup.

“Tapi (himpunan itu) jalan perjalanan dengan lancar, Alhamdulillah. Pihak polis pun dapat berehat sebab kita ada sandaran dengan keselamatan dari Jabatan Amal dan juga pihak keselamatan PERKID yang berlugas pada hari tersebut.

“Kita dapat kolaborasi yang baik dengan pihak polis kerana tidak menimbulkan masalah yang melanggar undang-undang,” katanya dalam sidang media bagi ‘post mortem’ Himpunan Melayu Berdaulat di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Masridzi turut menjelaskan bahawa tiada unsur 3R (kaum, agama, raja) diketengahkan sepanjang program dan semua penceramah hanya menumpukan kepada isu-isu dalaman umat Islam yang semakin membimbangkan

“Semua bercakap tentang masalah dalaman yang menimbulkan pada umat Islam. Yang diluahkan oleh para penceramah dan juga tuduhan mengatakan program ini ada ditunggang oleh orang politik dan agama.. juga tidak benar,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa program itu adalah inisiatif sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) tanpa sebarang pengaruh politik.

“Mereka yang terlibat daripada parti itu adalah komitmen mereka, contohnya ada daripada pimpinan PAS datang. Mereka komitmen terhadap program. Kita jemput juga pimpinan Umno tapi tak datang, kita jemput parti Keadilan, Amanah dan semua parti-parti yang lain.

“Jadi menunjukkan bahawa kita hari itu bukan ada sentimen kepartian tetapi soal nak menyatu perpaduan Melayu Islam kita tanpa mengira sebab itu kita panggil semua parti-parti politik. Jadi siapa yang datang kita jemputlah berucap jadi tidaklah tuduh kita ini ditunggang oleh mana-mana,” katanya.

Masridzi berkata, perhimpunan itu telah membuka ruang kepada komuniti-komuniti teraniaya menyuarakan masalah mereka, termasuk isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru dan isu tanah di Pahang.

“Rakyat yang teraniaya ini mereka nak meluahkan dan tidak ada tempat nak mengadu, akhirnya kita nampak mereka dapat meluahkan pada hari tersebut.

“Maklumat yang mereka beri itu dapat kita lihat sendiri dalam perkara yang telah tular tetapi kita juga selepas ini meminta kepada semua parti politik Melayu untuk menyambut isu-isu yang dibawa oleh komuniti masyarakat ini.

“Siapa yang nak sambut isu tanah di Pahang untuk bawa ke peringkat lebih atas? Politik-politik mana? Kumpulan mana? Jadi kita nak supaya peringkat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kalangan politik Melayu ini hendaklah bersatu bersama mereka untuk menangani isu-isu rakyat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -