
PENGKALAN CHEPA: Selepas setahun pemerintahan PAS di Kelantan, Che Rotna Che Mat ketika itu berusia 21 tahun mula menjadi tenaga pengajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Malah PASTI yang ditubuhkan pada tahun 1988 dan beberapa tiga tahun kemudian dia menjadi salah seorang tenaga pengajar paling lama biarpun berdepan pelbagai onar dan duri.
Kini umur dia sudah menjangkau 55 tahun menjadi antara guru yang paling lama berkhidmat dan berbakti kepada institusi pendidikan yang dikelola oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia itu.
“Rahsia kak ialah sehingga dinobatkan sebagai guru lama berkhidmat bersama pendidikan PASTI ini, istiqamah dan berpegang kepada prinsip perjuangan parti walaupun kita tidak seberapa.
“Tetapi kita tetapi kekal Inshallah sebab kita bekerja ini pun untuk perjuangan PAS juga, memberi pendidikan awal kanak-kanak ini mengenai agama kepada anak bangsa kita ini,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Ijtimak Pendidikan dan Sambutan Hari Guru Dewan Pemuda PAS Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini semalam.
Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan itu turut dihadiri semua kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Seramai 1,359 guru dari institusi pendidikan termasuk PASTI, Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Tunas Islam (SMITI) menghadiri majlis itu.

Terdahulu ibu lima cahaya mata itu mendahului 14 penerima Anugerah Guru Lama Berkhidmat PASTI Negeri, yang tidak pernah jemu dan terus berbakti memberi pendidikan agama.
Dia bersyukur kerana dinobatkan sebagai guru paling lama menerusi penghargaan itu setelah menjadi salah seorang tenaga pengajar cekal untuk PASTI sejak tahun 1991.
Pada peringkat awal dia mengajar di PASTI Cenderung Batu Wakaf Bharu Tumpat sehingga 1998 dan seterusnya di PASTI Alor Tal sehingga kini meskipun dalam keadaan kekurangan. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











