
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memandang serius tindakan Perdana Menteri yang dalam keadaan hampir dengan tarikh perbicaraan kes saman oleh Yusoff Rawther pada 16 Jun 2025, telah memohon kekebalan bersyarat (conditional immunity) atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kerajaan.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan itu menimbulkan persoalan besar mengenai penggunaan prinsip kekebalan yang diperuntukkan dalam Perkara 181, 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan – peruntukan yang secara khusus merujuk kepada kekebalan bersyarat Raja-raja, bukan kepada mana-mana pemimpin politik termasuk Perdana Menteri.
“PN dengan ini menggesa Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, serta dalam kapasitinya sebagai individu yang seharusnya bertindak menjaga kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.
“(Ia adalah) supaya campur tangan segera dalam isu ini, sama ada sebagai pencelah (intervenor) mahupun sahabat mahkamah (amicus curiae) dalam prosiding permohonan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
PN menurut Setiausaha Agung PAS itu turut menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk meneliti kesahihan permohonan kekebalan yang dibuat oleh Perdana Menteri dari segi undang-undang dan perlembagaan.
“Keduanya, Peguam Negara juga bertanggungjawab untuk menegur dan menasihati Perdana Menteri secara rasmi sekiranya tindakan tersebut menyalahi semangat dan peruntukan Perlembagaan.
“Ketiganya, Peguam Negara bertanggungjawab untuk mengelak duluan kehakiman (judicial precedent) berbahaya yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik di hadapan undang-undang,” tegasnya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, jika prinsip kekebalan itu disalah guna atau digunakan secara terpilih, ia bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi perdana negara, tetapi membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan keseluruhannya.
“PN juga menyeru agar Peguam Negara bertindak selaku Pengawal Perlembagaan (Guardian of the Constitution) selaras dengan sumpah jawatannya, mempertahankan Perlembagaan dan menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa takut atau pilih kasih (without fear or favour).
“PN berpandangan sekiranya Perdana Menteri merasakan saman terhadap beliau tersebut tidak berasas, beliau boleh mengikut undangundang di peringkat awal lagi membuat permohonan untuk membatalkan (application to struck out) saman tersebut atas pelbagai alasan,” terangnya.
Antaranya, kata beliau, saman tidak mempunyai sebarang kausa tindakan yang munasabah (no reasonable cause of action), bersifat remeh temeh (frivolous and vexatious), penyalahgunaan proses mahkamah (abuse of court process), tidak mengikut prosedur yang betul (procedural noncompliance) dan seumpamanya.
“Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada demokrasi. Tiada siapa pun – hatta Perdana Menteri – yang boleh dikecualikan daripadanya.
“Pengawal Perlembagaan bukan alat kuasa – dia adalah benteng terakhir rakyat dari kezaliman (The Guardian of the Constitution is not a tool of power – he is the people’s last line of defence against tyranny),” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











