Dari kampus UM ke Putrajaya: Rakyat tunggu pelaksanaan kata-kata

- Advertisement -

SEPERTI halilintar menyala, membakar jerami kemarahan rakyat, bukan hanya kepada Anwar sebagai PM yang gagal namun lebih jauh ialah tentang organisasi politik yang beliau nakhodai, PKR yang penuh kecacamarbaan. Pesta mencantas, menyelak kain, politik wang, pembinaan jutawan baru yang membolot pelbagai kepentingan, pembunuhan karektor pesaing serta seribu satu masalah yang identik dengan parti yang berkuasa. Namun sulit sekali untuk tidak ingin mengambil tahu tentang sosok ini, seperti sangkuriang perkasa yang muncul daripada hutan belantara dan dia memicu pesona pada rakyat jelata dengan wejangannya.

- Advertisement -

Medsos menggelegak hangat sama ada mencebiknya atau mengangkat dirinya bak adiwira penyelamat negara, juga parti yang diterajuinya ‘parti derita’ yang dengan pantas menjadi parti kayangan. Parti yang ditubuhkan pasca reformasi 1998, pernah bergayut pada PAS dizaman awalnya, sarat dengan drama politik, intriq dalaman serta mandraguna kuasa adalah segalanya. Biar rakyat Malaysia menghujamnya dengan carutan dan makian yang terus menggila, dia tak peduli apa orang kata tentang obsesinya tentang kuasa dan keterjaminan kerusi Perdana Menterinya.

Anwar Ibrahim, mantan pelajar MCKK ,sebuah sekolah bergengsi yang ditubuhkan oleh penjajah British dengan nuansa melahirkan pegawai tadbir British dizaman kolonial.

Anwar memasuki kampus Universiti Malaya saat kumpulan sosialis  masih merajai hati ilmuan dan anak-anak muda diseluruh dunia. Bentrokan antara kumpulan pelajar radikal dengan pihak aparat keamanan adalah satu fenomena sejagat, bantahan terhadap penguasa kapitalis, cukong dan borgouis adalah inti perjuangan mahasiswa dalam dekad 1960an dan awal 70an.

Anwar  belajar di Fakulti Sastera UM, kampus yang menyaksikan penularan semangat kebangkitan semula Islam. Kampus ini mempunyai gerakan pelajar Sosialis yang kuat dan menguasai Majlis Perwakilan Pelajar. Nama-nama besar pemimpin KESUMA seperti Sanusi Osman , Syed Hamid Ali manakala pensyarah tegar sosialis seperti Dr Syed Husein Ali. Anwar muncul dikampus dengan jaringan pelajar-pelajar dibawah PKPIM dan jiwanya dekat dengan mahasiswa. Seterusnya dengan teman-teman menubuhkan ABIM pada tahun 1971,sebuah gerakan sosio dakwah yang menggilap nama Anwar sehingga 1982.

Anwar menyertai Umno pada tahun 1982 sehinggalah dipecat daripada Umno pada tahun 1998, fenomena Anwar memunculkan gerakan reformasi. Tunas gerakan reformasi akhirnya memunculkan Parti Keadilan Nasional, bersinergi dengan PAS dalam Barisan Alternatif sehinggalah Dap keluar daripada BA pada tahun 2001. Anwar mendekam dalam penjara kerana sabitan kesalahan di mahkamah, parti yang ditubuhkan atas gejolak perjuangan Anwar berdepan dengan pelbagai ujian. Tak mudah mengawal parti yang suka menunggang rakan kolaborasi dan PAS paling pahit menelan hakikat sejarah. Pelbagai isu termasuk langkah Kajang, perpecahan PAS 2015 sehingga munculnya Pan, parti liberal pragmatis itu tak pernah sunyi daripada pelbagai masalah dalam.

Anwar selama puluhan tahun menunggang istilah reformasi, menentang ketidakadilan, menentang kezaliman, menentang korupsi, nepotism, kroni kapitalism serta pelbagai istilah muluk muluk untuk membuktikan dirinya pejuang. Rakyat melihat dengan muak drama politik parti berbasis karisma seseorang tokoh, PKR tanpa segan silu menunjukkan wajahnya yang sebenar. Diuji dengan ujian kuasa yang hebat, jika Umno memerlukan separuh abad untuk kelihatan hodoh dan bangsa, namun PKR hanya mengambil masa dua tahun!. Intriq dan polemik dalam mewarnai parti anak beranak itu mulai akar umbi sehinggalah peringkat Pusat. Daripada sketsa kerusi terbang, surat layang, penipuan, perpuakan mewarnai parti yang bernuansa liberal pragmatis itu.

Pemilihan PKR minggu ini paling dramatik dalam sejarah perpuakan parti itu, Rafizi Ramli dalam tempoh seminggu dua ini nekad menyelak kain PKR sehingga segala panau kurap terdedah kepada umbaran publik. Pertempuran terbuka di medsos dengan segala yang terbuku dihati dimuntahkan dengan sewenannya, Kegilaan dua tim dalam PKR kepada takhta dan kuasa tak terjangkau dek akal,  istilah membina kroni capitalism yang dipalit kepada imej umno kini sepenuhnya marak menyala kepada PKR. Taktik bumi hangus benar benar dilaksanakan seolah tiada hari esok, ada anak muda generasi baru PKR yang tersilau dengan ujian kuasa sangat rakus walau tidak pernah merasai gas pemedih mata dan belantan FRU!. Ironi sekali dengan parti yang cuba dijenamakan sebagai parti derita namun berbelanja mewah di hotel dengan pelbagai majlis. Taikun- taikun besar mula mengelilingi tokoh – tokoh PKR, jawatan jawatan lantikan politik mula meriah serta PMX Cuba untuk menghalalkan apa yang mereka tentang suatu masa dahulu.

Era kerajaan Madani dengan jolokan zaman edan ini, rakyat negara ini semakin hanyut dalam budaya seronok santai, berselimut hedonism, malah fahaman liberal dan pluralism agama semakin menggebu semenjak zaman Anwar memimpin. Rakyat dihempap dengan kenaikan kos kehidupan, jurang dan prasangka antara kaum semakin melebar, PMX berlanglangbuana ke merata belahan dunia serta gemar mengumumkan kemasukan pelaburan berbillion namun subsidi semakin banyak ditarik daripada rakyat. Penulis bersetuju dengan unjuran Rafizi Ramli bahawa parti yang paling ditolak pada PRU 16 ialah PKR, terutama kaum bukan Melayu yang terhakis kepercayaan kepada Pakatan Harapan.

Sejujurnya, rakyat juga wajar memahami karektor PMX serta parti yang mendokong Anwar setelah dua tahun setengah menguruskan negara. Anwar wajib melihat cermin serta introspeksi , bermuhasabah akan perjalanan karier politiknya dengan taburan janji-janji pilihan raya, luahan kata kata muluk hanya penyeri podium! Ironi juga, rakyat wajib bertanya dan menganalisa dengan serius, ke mana perginya teman-teman rapat Anwar? Jika beliau insan yang menjunjung prinsip kesalihan siasah maka rasanya teman aktivis seperti Dr Chandra Muzaffar, Ezam Mohd Nor, Arwah Dr Sidek Baba, Ustaz Ismail Mina, Hisham Rais, Tian Chua dan ribuan komrade yang lain tak akan meninggalkan beliau. Mereka menjarakkan diri dengan Anwar dengan seribu satu cerita antagonist seorang yang  pakar bersilat lidah namun nol!.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 29/5/2025

- Advertisement -