
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memandang serius laporan terbaharu JKM bahawa lebih separuh daripada keseluruhan kemasukan kanak-kanak ke institusi perlindungan berpunca pengabaian ibu bapa dan penjaga.
Beliau berkata, menurut laporan sebuah akhbar tempatan, angka 999 daripada 1,763 kes yang direkodkan amat membimbangkan, apatah lagi membabitkan kes-kes serius seperti pembuangan anak, penderaan, dan pengabaian emosi serta fizikal.
“Kanak-kanak adalah amanah Allah dan aset negara. Mereka adalah pewaris masa depan ummah dan negara. Hak asasi mereka untuk dilindungi, disayangi, dan dibentuk secara sihat oleh insan yang sepatutnya menjadi pelindung utama mereka (ibu bapa).
“Apabila dinafikan ini adalah satu pengkhianatan kepada tanggungjawab keibubapaan dan kegagalan asas dalam membina masyarakat yang sejahtera,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
Ustazah Nuridah berkata, beliau berasa sedih apabila mengenangkan sikap ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak-anak atas alasan tekanan hidup, ketagihan dadah, atau ketidakmatangan tanggungjawab.
Katanya, anak-anak bukan beban, sebaliknya cahaya harapan dan aset masa depan dunia dan akhirat.
“Dalam Islam, ibu bapa yang menzalimi anak-anak sendiri adalah golongan yang dituntut untuk bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar,” jelasnya.
Cadangan penyelesaian
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa solusi utama untuk permasalahan itu antaranya mewajibkan pendidikan keibubapaan melalui kursus pra-perkahwinan dan program komuniti secara berkala.
“Keduanya, perluaskan akses bimbingan psikologi dan kaunseling kepada ibu bapa bermasalah, termasuk melalui masjid, NGO dan pusat komuniti.
“Ketiga, perkukuh jaringan masyarakat prihatin jiran, guru dan komuniti setempat perlu cakna dan peka terhadap tanda-tanda pengabaian dan penderaan.
“Keempat, cadangan penubuhan pusat perlindungan komuniti kendalian NGO/masjid sebagai alternatif sementara kepada institusi formal.
“Kelima, garis panduan dan pemantauan khas bagi keluarga berisiko tinggi, terutama yang pernah mempunyai rekod pengabaian atau penyalahgunaan dadah.
“Keenam, pendidikan keagamaan perlu digalakkan dan diberi insentif terutama daripada pihak kerajaan,” cadangnya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas usaha konsisten melindungi anak-anak.
“JKM bukan sekadar menyelamatkan nyawa mereka secara fizikal, tetapi juga memberi ruang untuk mereka membina semula harapan hidup. Peningkatan kes penderaan yang dilaporkan melalui Talian Kasih juga menunjukkan antara usaha dan kesedaran yang sedang dibina,” katanya.
Beliau menyokong inisiatif JKM dan Kementerian Pendidikan untuk turun ke sekolah memberi kesedaran kepada kanak-kanak bahawa mereka tidak keseorangan dan ada pihak yang sudi mendengar dan membantu mereka.
“Guru-guru pula mesti dilatih menjadi ejen pelindung utama anak-anak ini,” katanya.
Ustazah Nuridah menyeru semua pihak untuk menjadikan isu pengabaian kanak-kanak ini sebagai agenda nasional.
“Jangan biarkan generasi pewaris negara terus disakiti dan dipinggirkan. Islam dan tamadun tidak akan tegak di atas tapak yang menindas zuriatnya sendiri.
“‘Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya’,” katanya memetik maksud hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim. – HARAKAHDAILY 23/5/2025











