
SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Mohd Shafie Ngah menegur kepimpinan parti kerajaan agar tidak terus hanyut dengan konflik dalaman sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Mengulas berkenaan pemilihan PKR 2025, beliau menyifatkan ia sebagai penuh dengan ‘drama demi drama’ yang bukan sahaja membabitkan ahli biasa, tetapi turut melibatkan individu memegang jawatan penting dalam kerajaan.
“Pendedahan serta langkah-langkah mengejut yang dibuat bukan sekadar mencederakan emosi rakan yang diserang tetapi membuka pekung yang membimbangkan rakyat. Rakyat makin jelas parti yang berkuasa ini sebenarnya sedang hilang fokus.
“Kuasa di tangan sedang mengaburi mata, keliru antara terus kekal relevan dipilih dalam parti atau mengusahakan janji-janji reformasi apabila berada di tampuk kuasa.
“Mereka lupa jawatan yang sedang dipegang hari ini adalah amanah yang datang bukan daripada ahli-ahli dan penyokong parti mereka sahaja. Jangan alpa dan hanyut sehingga lupa rakyat sedang memerhati dan menanti,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal itu turut membangkitkan beberapa isu rakyat yang masih belum ditangani secara tuntas oleh kerajaan, antaranya kes letupan paip di Putra Heights juga belum dilaporkan secara terbuka.
“Banjir kilat yang kerap berulang kini di Selangor, banyak sistem perairan dan perparitan yang perlu dibaiki dan dipulih baru. Tiga pegawai KDN (Kementerian Dalam Negeri) iaitu orang kuat kepada Menteri KDN dipanggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Menteri pula terbukti memfitnah Menteri Besar Kedah dalam kes curi REE. Mana kata maaf? Isu harga telur, santan, minyak masak, beras tempatan yang tidak selalu ada dan pembelian ‘berlimit’ yang terus membebankan rakyat terutama golongan B40.
“Polisi cukai, subsidi, SST dan keputusan-keputusan ekonomi yang diumumkan kerajaan mengguris hati sebahagian golongan rakyat M40 dan T20,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menyentuh mengenai isu seorang menteri yang dilaporkan telah mengambil cuti dan mengugut untuk meletakkan jawatan sekiranya tewas dalam pemilihan tersebut.
“Pemimpin negara tidak boleh merajuk kerana isu parti. Amanah dan jawatan yang disandang bukan hal main-main. Nasib rakyat dan negara berada di tangan pemimpin,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











