
GAZA, Palestin: Tentera Zionis Israel terus menggila apabila membunuh lebih 200 rakyat Palestin dan menghalau kira-kira 300,000 penduduk dari wilayah Gaza Utara ke Gaza City dalam tempoh hanya dua hari, lapor Bernama daripada laporan Anadolu Ajansi.
“Dalam satu lagi jenayah yang menambah rekod berdarah Israel, lebih 200 syuhada telah terbunuh hanya dalam wilayah Gaza Utara dalam tempoh 48 jam lalu, meneruskan siri pembunuhan beramai-ramai yang tidak berkesudahan,” kata kenyataan Pejabat Media Gaza, pada Sabtu.
Selain itu, lebih 1,000 unit kediaman turut dimusnahkan sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, manakala ratusan ribu rakyat Palestin terpaksa berpindah ke Gaza City yang langsung tidak memiliki infrastruktur asas untuk menampung mereka.
Pejabat Media Gaza turut mendedahkan bahawa kira-kira 140 mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas tentera Israel sengaja menghalang pasukan ambulans dan pertahanan awam daripada memasuki kawasan pengeboman, satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dron tentera Zionis dikatakan membakar ratusan khemah di kem pemindahan sementara yang menempatkan pelarian di Tel al-Zaatar di Kem Jabalia, Bandar Beit Lahia serta kawasan lain di utara Gaza, sekali gus mengundang persoalan terhadap sikap membisu masyarakat antarabangsa yang dilihat bersekongkol dalam jenayah genosid ini.
Sementara itu, Gaza City kini berada dalam keadaan sangat kritikal apabila tidak mempunyai sebarang khemah atau tempat perlindungan mencukupi, menyebabkan ribuan keluarga terpaksa berlindung di jalan-jalan seperti di Jalan al-Jalaa dan kawasan al-Saftawi.
Ke semua mereka berada dalam keadaan tanpa akses kepada makanan, air bersih dan ubat-ubatan, ditambah pula dengan sekatan ketat dan serangan udara berterusan.
Campur tangan segera dan efektif dari masyarakat antarabangsa diseru bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini, menghantar pasukan penyelamat untuk mencari dan merawat mangsa, membuka lintasan untuk bantuan kemanusiaan serta mendakwa pemimpin rejim Israel di mahkamah antarabangsa.
Menurut statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Anadolu, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 378 rakyat Palestin telah syahid sepanjang lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke rantau Teluk selama empat hari baru-baru ini.
Jumlah direkodkan tersebut adalah hampir empat kali ganda berbanding jumlah korban dalam empat hari sebelum lawatan tersebut, iaitu sekitar 100 mangsa.
Sejak 2 Mac lalu, Israel telah menyekat sepenuhnya kemasukan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan ke Gaza serta membatalkan gencatan senjata yang telah dipersetujui, sebelum kembali melancarkan serangan besar-besaran pada 18 Mac.
Jumlah korban sejak perang bermula pada Oktober 2023 kini telah melebihi 53,200 orang. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











